Bekas Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak. foto ISKANDAR HAMIDI, 10 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menjenamakan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib dalam satu entri di Facebooknya tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah dengan berkata, langkah itu tidak akan dapat meredakan kemarahan rakyat terhadap peruntukan Belanjawan 2021 kerajaan PN kepada badan itu.

“Saya tak yakin langkah untuk jenamakan semula nama JASA kepada J-KOM mampu meredakan keadaan.

“Saya tengok ramai komen atau posting pro-PN sekarang sedang dibalas dengan komen “Ha! Budak JASA RM85j dah mula buat kerja,” katanya hari ini.

Najib mengulas kenyataan Saifuddin yang memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa JASA akan dijenamakan semula dengan alasan bagi mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat.

Saifuddin berkata, ia seiring dengan matlamat penubuhan badan itu dalam menyampaikan maklumat kerajaan yang tepat, sahih dan bijaksana kepada rakyat, selain mendengar suara dan maklum balas daripada rakyat.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata isu sebenar kemarahan rakyat adalah peruntukan besar RM85 juta kepada badan itu.

Katanya lagi, ia jelas memberikan kesan yang negatif kepada niat sebenar kerajaan yang ingin menyampiakan maklumat tepat kepada rakyat.

“Jika hanya dijenamakan semula, saya rasa komen balasan cuma bertukar menjadi “Ha! Budak J-KOM RM85j dah mula buat kerja.

“Jadi, segala propaganda yang menyebelahi kerajaan PN akan menjadi kurang berkesan. Kerajaan perlu sedar wujudnya risiko ini,” soal Najib lagi.

Di Dewan Rakyat juga, Saifuddin memberikan jamian peruntukan terhadap JASA akan dikurangkan.

“Saya memberi jaminan ia (peruntukan) akan dikurangkan. Berapa banyak kurang itu sedang dibincangkan,” jelas Saifuddin lagi.

Dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat awal bulan ini, kerajaan PN kembali menghidupkan JASA dengan peruntukan RM85.5 juta.

Untuk rekod, JASA dibubarkan pada Mei 2018 oleh Pakatan Harapan (PH) selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Jasa dijenamakan semula sebagai J-KOM dengan fungsi berbeza – Saifuddin