Pimpinan UMNO diketuai presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Maslan membayangkan ada berita baik akan diumumkan kerajaan esok.

Menerusi akaun Twitternya, Setiausaha Agung UMNO itu berkata, beliau bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat di Dewan Rakyat hari ini.

Antara yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah moratariom dan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kita tunggu pengumuman beliau Khamis 26/11/2020. Moga ada berita baik,” ciapnya.

Pertemuan itu turut disertai oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Esok, Dewan Rakyat akan mengundi Belanjawan 2021.

Sidang itu dinantikan dengan penuh debaran kerana parti penyokong kerajaan, Barisan Nasional (BN) memberikan sokongan bersyarat kepada Belanjawan 2021 seperti dinyatakan Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan).

Beliau yang mewakili Ahli Parlimen BN antara lain meminta supaya moratorium pinjaman automatik selama enam bulan lagi diberikan dan pengeluaran one-off RM10,000 caruman Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebagai syarat sokongan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menegaskan Belanjawan 2021 hanya akan mendapat sokongan penuh sekiranya pindaan dibuat untuk “kebajikan rakyat”. – MalaysiaGazette