KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Kesihatan (KKM) perlu menyiasat secara terperinci dakwaan membabitkan sejumlah besar pekerja asing di sebuah kilang di Selangor dijangkiti Covid-19.

Ia dikatakan dikesan selepas majoriti mereka berkumpul di sebuah hotel murah bagi proses kuarantin.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, dakwaan dibuat oleh pengasas Country Heights Holdings Bhd, Tan Sri Lee Kim Yew itu amat serius serta memberi implikasi buruk terhadap negara.

Senario itu jika terbukti benar akan mencerminkan kelemahan dan kegagalan Kementerian Kesihatan dalam membendung penularan pandemik global berkenaan, katanya.

“Saya merayu kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk menyiasat dakwaan Tan Sri Lee dan mengambil tindakan pada kadar segera.

“Pastikan tiada golongan kayangan yang akan terlepas daripada tindakan jika ia sememangnya berlaku seperti didakwa,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Sebelum itu, Kim Yew mendakwa lebih 160 pekerja asing sebuah kilang di Selangor didapati positif Covid-19 selepas mendaftar masuk ke sebuah hotel murah di Seri Kembangan, Selangor.

Kesemua pekerja berkenaan menginap di hotel terbabit bagi menjalani proses kuarantin selepas dibawa keluar dari Zon Merah di Klang.

Menurut Kim Yew, 31 daripada 200 pekerja terbabit didapati positif pada 14 November lalu, sehari selepas mendaftar masuk ke hotel termasuk 132 yang lain.

Mengulas lanjut Santhara berkata, tempoh kuarantin selama 14 hari itu perlu dilakukan dengan sama rata tanpa sebarang pengecualian.

“Tempoh kuarantin ini biar sama untuk semua. Jika perlu 14 hari, biar semuanya 14 hari (kuarantin). Jika ada yang dibenarkan mendapat pengecualian, perlu ada senarai nama lengkap dari Kementerian Kesihatan.

“Saya amat yakin Dr Noor Hisham akan berlaku adil dengan semua pihak, semua perlu dikenakan tindakan dan keperluan (kuarantin) yang sama malah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menjalani kuarantin selama 14 hari,” tegasnya. -MalaysiaGazette