Muhammad Faizal Mohd Arif

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan, Muhammad Faizal Mohd. Arif mengakui UiTM FC banyak mengubah dirinya sebagai pemain profesional.

Beliau percaya dirinya telah membuat keputusan tepat untuk terus kekal bersama pasukan itu musim depan.

Kapten UiTM FC itu antara salah seorang daripada sembilan pemain yang dilanjutkan kontrak untuk kekal bersama The Lions Troop termasuk pengendalinya, Frank Bernhardt.

Faizal,25, menyifatkan banyak perkara positif yang telah dipelajari daripada pasukan itu sejak 2016 sehingga berjaya menjadi pemain profesional yang berkebolehan selain turut diberi kepercayaan menjadi kapten pasukan.

“Saya rasa UiTM FC banyak tolong saya dalam karier bola sepak. Saya mula beraksi sebagai pemain profesional dengan pasukan ini hampir lima tahun sejak tahun 2016 lagi dan saya gembira apabila masih kekal dengan pasukan sama.

“Memang saya ada terima juga tawaran daripada pasukan-pasukan lain, tetapi saya tak boleh nafikan UiTM masih memberi seribu satu makna untuk saya.

“Banyak benda positif yang saya dapat, dengan pengurusan pasukan juga banyak membantu kami di sini, jadi saya rasa keputusan untuk kekal di UiTM FC adalah keputusan terbaik yang saya lakukan untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya.

Bercakap mengenai Bernhardt, Faizal mengakui jurulatih dari Jerman itu merupakan seorang jurulatih yang memahami para pemain dan sentiasa memberi peluang kepada pemain muda khususnya untuk menyerlahkan potensi di atas padang.

Justeru, Faizal percaya bekas pengendali skuad bawah 22 tahun negara itu akan terus memberikan sesuatu yang lebih positif kepada pasukan bagi menghadapi musim 2021 dengan cemerlang.

“Bagi saya, Bernhardt adalah seorang jurulatih yang bagus, dan sentiasa percaya dekat pemain-pemainnya.

“Beliau memahami setiap daripada kami, dan paling penting tidak pernah lupa pemain-pemain muda untuk sentiasa memberi peluang kepada mereka beraksi dalam perlawanan.

“Saya berharap musim 2021 akan berjalan lebih lancar untuk kita semua dan paling penting, UiTM FC perlu kekal dalam saingan Liga Super,” tambahnya.

UiTM FC berjaya menamatkan musim 2020 di kedudukan keenam terbaik CIMB Liga Super.

Mereka juga berjaya mara ke peringkat suku akhir TM Piala Malaysia musim ini setelah menewaskan Kelantan dengan keputusan 3-2 di peringkat 16 pasukan terakhir sebelum saingan itu dibatalkan ekoran penularan COVID-19 yang melanda negara ketika ini. – MalaysiaGazette