Istana Kehakiman Turki yang terletak di Istabul. foto Agensi

ANKARA – Mahkamah Turki telah menjatuhkan hukuman seumur hidup kepada 337 pegawai tentera dan yang lain, dalam salah satu perbicaraan terbesar yang berkaitan dengan cubaan rampasan kuasa pada tahun 2016.

Juruterbang tentera udara dan komander tentera termasuk antara hampir 500 defendan yang dituduh cuba menggulingkan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Mereka didakwa mengarahkan rampasan kuasa dari pangkalan udara Akinci berhampiran Ankara.

Erdogan menuduh Fethullah Gulen yang kini berada di Amerika Syarikat mendalangi rancangan itu, hingga mendorong tangkapan secara besar-besaran.

Gulen telah menafikan terlibat dalam cubaan rampasan kuasa pada bulan Julai 2016 yang membunuh 251 orang dan mencederakan lebih dari 2.000 orang.

Ketika kejadian itu, Erdogan sedang bercuti pada waktu itu di sebuah resort.

Ribuan orang awam berkumpul untuk menyokong Erdogan dalam pergolakan yang berlaku satu malam untuk berdepan dengan pihak-pihak yang terlibat dengan rancangan itu.

Perbicaraan bermula pada bulan Ogos 2017.

Pegawai tentera dan kerajaan yang bersekongkol menentang Erdogan telah merampas pesawat di pangkalan Akinci, dengan menjadikan Jeneral Hulusi Akar dan beberapa pegawai lain sebagai tebusan.

Bekas komander tentera udara, Akin Ozturk dipenjara seumur hidup tahun lalu kerana peranannya dalam komplot itu.

Dakwaan tersebut menyatakan 25 juruterbang dalam pesawat F-16 mengebom sasaran di Ankara, termasuk Parlimen, yang dibedil tiga kali, serta bangunan keselamatan utama.

Pengeboman itu mengorbankan 68 orang di Ankara dan mencederakan lebih daripada 200 orang.

Seramai 25 orang jeneral tentera dan 10 orang awam dibiacarakan.

Lebih daripada 10 pegawai tentera – termasuk juruterbang pejuang F-16 – dan empat orang awam masing-masing mendapat 79 hukuman sukar seumur hidup.

Hukuman “sukar” adalah hukuman penjara yang lebih keras daripada hukuman seumur hidup yang normal.

Seramai enam tertuduh turut dibicara dan diadili walaupun tidak hadir, termasuk Gulen dan Adil Oksuz, seorang pensyarah theologi yang dituduh sebagai koordinator utama dalam rancangan rampasan kuasa itu. – MalaysiaGazette