Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Tidak sampai tiga minit Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat dasar di Dewan Rakyat, pembangkang mula mencelah.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bingkas bangun bertanyakan bagaimana kerajaan gagal menyediakan peruntukan yang lebih banyak untuk kesihatan yang mana kerajaan terdahulu yang memperuntukan 10.3 peratus daripada jumlah keseluruhan belanjawan berbanding 9.3 peratus pada Belanjawan 2021.

Dr Dzulkefly: Menteri, boleh saya mencelah lebih awal?

Tengku Zafrul: Boleh saya habis dulu?

Dr Dzulkefly: Sekejap sahaja, pendek sahaja penjelasan sikit. Ini pun bukan kena mengena dengan isu-isu lain.

Tengku Zafrul kemudian duduk memberikan laluan sambil tersenyum namun kedengaran suara-suara wakil rakyat menjerit meminta bekas Menteri Kesihatan itu memberi peluang kepada Menteri menggulung terlebih dahulu.

“Bagilah habis, tolonglah,”.

Dr Dzulkeyly bangun dan terus menyoal tentang peruntukan untuk sektor kesihatan sambil membuat perbandingan dengan kerajaan terdahulu.

Kata beliau: “Saya dengar dengan tekun penegasan yang dibuat oleh Menteri Kewangan bahawa ini adalah Belanjawan Covid-19 untuk kelangsungan survival rakyat dan daya tahan ekonomi negara.

“Saya ingin tanya segera untuk dijawab, sebelum ini Belanjawan 2020 telah beri peruntukan untuk sektor kesihatan sebanyak RM30.6 bilion atau 10.3 peratus. Tapi kali ini untuk sektor kesihatan hanya diberikan sebanyak 9.9 peratus atau lebih tepat 9.4 peratus,” soalnya.

Bagaimanapun kata Tengku Zafrul beliau akan menjawabnya kemudian.

Kata Dr Dzulkefly, bantuan yang diberikan untuk sektor kesihatan sangat mengecewakan walhal ia sepatutnya diperkasakan ketika penularan Covid-19. – MalaysiaGazette