KUALA LUMPUR – Dua bot nelayan asing warga Indonesia yang telah menceroboh perairan negara berjaya dikesan dan diusir keluar oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 6.45 petang semalam iaitu kira-kira 71 batu nautika barat laut Pulau Jarak.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, Lumut Perak dalam kenyataan hari ini berkata, semasa kejadian Kapal TLDM iaitu KD Mahawangsa sedang terlibat dalam pelaksanaan operasi Op Benteng Laut, Op Pejarak dan rondaan pemantauan Selat Melaka Utara telah menerima maklumat dari Air Component Commander (ACC), Pesawat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia jam 3 petang semalam.

Dua bot nelayan warga Indonesia yang meceroboh perairan negara berjaya dikesan oleh TLDM sebelum Kapal KD Mahawangsa mengusir bot berkenaan dalam kejadian petang semalam.

“Ketika rondaa itu, KD Mahawangsa kemudian mengesan beberapa bot nelayan asing sekitar 46 batu nautika barat laut Pulau Jarak.

“KD Mahawangsa seterusnya belayar menuju ke lokasi tersebut dan mendapati dua buah bot nelayan asing yang tidak memiliki nombor pendaftaran dan mengibarkan bendera Indonesia berada di posisi yang dikesan pada jam 5.49 petang,” kata markas dalam kenyataan dari Kementerian Pertahanan hari ini.

Tambah kenyataan itu,  kedua-dua bot nelayan asing itu diusir oleh KD Mahawangsa dengan mengiringi bot-bot tersebut sehingga keluar dari perairan negara pada jam 6.45 petang.

Menurut markas berkenaan, TLDM sentiasa memperkasakan Op Benteng bersama pelbagai agensi maritim yang lain di bawah National Task Force (NTF) bagi memperkukuhkan sempadan perairan negara daripada dicerobohi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Kehadiran kapal TLDM yang beroperasi 24 jam adalah bagi mengekang kemasukan PATI dan mencegah penularan pandemik Covid-19.-MalaysiaGazette