Anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) membawa anjing Pengesan Unit K9 di tempat kejadian seorang lelaki yang maut ditetak di lot parking Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Kepong. foto AFIQ HAMBALI, 25 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Dua lagi lelaki tempatan ditahan polis dalam perkembangan terbaharu siasatan kes seorang pekerja pasang khemah yang mati ditetak dalam kejadian di PPR Intan Baiduri, Kepong semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kedua dua suspek itu menetap di Batu Caves dan PPR Intan Baiduri, ditangkap di lokasi kediaman masing-masing.

“Kedua-dua suspek berusia 21 dan 24 tahun dan tidak bekerja.

“Siasatan polis juga mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau bersabit dadah.

“Mereka direman selama lima hari sehingga 30 November ini untuk membantu siasatan kes,” katanya dalam kenyataan terbaharu hari ini.

Setakat ini, tiga suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan kes ini.

Kes pembunuhan yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih diteruskan untuk melengkapkan siasatan.

Dalam kejadian pagi semalam, mangsa berusia 21 tahun maut ketika datang ke kawasan PPR Intan Baiduri, Kepong untuk memasang khemah.

Mangsa dikatakan rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pekerja pasang khemah mati ditetak