Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88 yang bermula sejak 11 November lalu ditamatkan di Sepang, Selangor. foto AFIQ HAMBALI, 26 NOVEMBER 2020

SEPANG – Polis mengesahkan identiti mayat lelaki yang ditemui tanpa organ dalaman di sebuah bekas lombong di Kampung Orang Asli Bukit Dugang, Dengkil pada 10 November lalu sebagai seorang warga asing.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata,  sehingga kini pihaknya masih menunggu pengesahan identiti mangsa daripada kaum keluarganya.

Katanya, setakat ini satu syarikat menyatakan bahawa mayat lelaki yang ditemui dalam kolam lombong adalah berkemungkinan warga asing.

“Si mati telah melarikan diri dari Pusat Kuarantin Hotel Marriot di sini selepas dikuarantin wajib 14 hari.

“Mangsa tiba ke negara ini di KLIA dua hari sebelum pelaksanaan PKPD di Medan 88 dan selepas dua hari dikuarantin dia berjaya melarikan diri dari pusat kuarantin itu sebelum ditemui terapung tanpa organ dalaman di lombong,” katanya dalam sidang media penamatan PKPD Medan 88 tengah malam tadi.

TERKINI : Mayat Lelaki Tanpa Organ Dalaman Dijumpai Terapung Di Lombong – ACP Wan Kamarul

Menurutnya syarikat selaku majikan baru sahaja menggaji warga asing itu dan mangsa mendarat di dalam negara sebelum dikuarantin

“Kita cuba dapatkan sampel DNA dari ahli keluarga mangsa di negara asal untuk membuat padanan.

“Permohonan memperolehi DNA keluarga mangsa dikemukakan menerusi kedutaan besar negara si mati dua minggu lalu.

“Kita masih dalam proses mendapatkan sampel DNA dari ahli keluarganya di negara asal dan keputusan akan dihantar kepada polis di sini oleh kedutaan negara tersebut.

“Tunggulah ia akan mengambil sedikit masa dan buat masa ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kes ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette