Sebahagian pelanggan yang hadir untuk membuat urusan selepas Program I-Sinar dibuka dan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas pendapatan dengan pengeluaran dari akuan 1 sehingga RM10k ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan perincian i-Sinar pada awal minggu hadapan, berikutan pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sesi ucapan
penggulungan Belanjawan 2021 hari ini.

Menurut kenyataan KWSP, perincian itu merangkumi kriteria kelayakan ahli yang pendapatannya terkesan, termasuk
mereka yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji.

“KWSP menjangkakan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon bermula pertengahan Disember 2020, dengan pembayaran pertama sebulan selepas permohonan diluluskan,” katanya.

i-Sinar merupakan kemudahan tambahan kepada program bantuan Kerajaan lain dan juga inisiatif-inisiatif lain yang diperkenalkan KWSP ketika pandemik ini, seperti pengurangan
kadar berkanun syer pekerja, pengeluaran i-Lestari, dan juga Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP).

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini, Tengku Zafrul mengumumkan kerajaan bersetuju pengeluaran wang daripada Akaun 1 KWSP melalui program i-Sinar dibuka kepada semua lapan juta ahli yang menghadapi masalah kewangan.

Menurut beliau, mereka cuma perlu memohon di dalam talian atau hadir di mana-mana pejabat KWSP. – MalaysiaGazette