Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah melantik pihak ketiga atau mana-mana vendor untuk mengurus Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Program Rekalibrasi Pulang di bawah Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dilaksanakan bermula pada 16 November 2020.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkata, sejak program tersebut bermula sebanyak 113 permohonan majikan melibatkan 17,292 kuota untuk menggajikan pekerja asing telah diluluskan.

“Pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kementerian memandang serius perkara ini dan akan menjalankan siasatan terperinci ke atas pihak yang mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI bagi mengelakkan berlakunya manipulasi terhadap majikan atau PATI yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, tindakan undang,-undang boleh diambil di bawah Seksyen 7, Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246) yang mana jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Rekalibrasi PATI adalah kerjasama antara dua kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).- MalaysiaGazette