Paparan proses pendaftaran vaksin pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 27 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Terdapat lima perkara yang perlu ditumpukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum memberikan vaksin Covid-19 kepada golongan sasaran.

Kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pertama, memastikan vaksin yang diperoleh telah didaftarkan agar dapat menjamin keselamatan mereka yang menggunakannya.

Selain itu, pembekalan atau perolehan vaksin yang meliputi isu logistik dan kos juga diambilkira.

“Paling penting adalah pendaftaran keselamatan. Kedua, melihat perolehan atau pembekalan, kita libatkan melihat logistik, kos dan sebagainya bagaimana kita boleh bekalkan vaksin kepada negara kita dan pemberian vaksin tersebut,” katanya ketika sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Golongan sasaran penerima vaksin ialah 6.4 juta rakyat di negara ini.

Noor Hisham berkata, keutamaan diutamakan kepada petugas kesihatan, petugas barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi khususnya warga emas.

“Apabila kita mendapatkan vaksin iaitu sekarang ini dijanjikan 12.8 juta yang boleh meliputi 20 peratus penduduk Malaysia iaitu 6.4 juta rakyat. Kita harap kita akan melihat keutamaan vaksin kepada golongan tertentu,” ujarnya.

Selepas mengenalpasti golongan sasaran, menurutnya, kerajaan juga perlu membuat pemantauan terhadap vaksin Covid-19 itu.

Kerajaan juga tambah beliau, perlu penilaian terhadap tahap imunisasii terhadap individu yang telah menerima vaksin itu kelak.

Keberkesanan vaksin itu juga akan dinilai oleh sebuah jawatankuasa yang bakal ditubuhkan.

“Apabila kita sudah berikan vaksin tersebut kepada 6.4 juta rakyat kita kena lihat kesan samping vaksin. Sekarang ini majoriti vaksin kita akan lihat indikasi yang telah digunapakai dan dalam kajian tersebut, contohnya, peringkat umur,” katanya lagi.

Perkembangan terkini hari ini menyaksikan, kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin Covid-19 dengan syarikat farmaseutikal Pfizer untuk mendapatkan bekalan sebanyak 12.8 juta dos bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjanjian itu bertujuan untuk memastikan kerajaan mempunyai akses kepada data dalam menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan disamping menjamin akses kepada vaksin tersebut sekiranya sedia untuk diedarkan oleh pihak syarikat.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Malaysia peroleh 12.8 juta dos vaksin Covid-19 tahun depan