Suasana dan gelagat nelayan dan penduduk di Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu Sabah. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 17 SEPTEMBER 2020

BUKIT GANTANG – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberikan jaminan bekalan ikan adalah mencukupi pada musim tengkujuh, terutama di kawasan Pantai Timur.

Pengerusi LKIM Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, pihaknya mempunyai simpanan bekalan ikan segar beku atau ‘Qfish’ di dua lokasi iaitu di Besut, Terengganu dan Kuala Kedah di Kedah.

“Melalui simpanan itu, pihak kami yakin bekalan ikan di Terengganu dan Kelantan, tidak akan terjejas pada musim tengkujuh.

“Ada beberapa syarikat yang mendapat bantuan dari LKIM, juga mempunyai bekalan ikan untuk menampung permintaan pada musim tersebut dan saya percaya tidak akan berlaku kenaikan harga ikan, kerana bekalan mencukupi,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Bantuan Mesra Rakyat di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang, di sini hari ini.

Bantuan itu diberikan kepada 22 buah Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) dengan jumlah RM49,502 bagi bayaran yuran murid dan guru yang terkesan dengan penularan COVID-19, manakala RM51,000 pula diberikan kepada tujuh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan enam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut di negara ini, bermula bulan ini sehingga Mac tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, Syed Abu Hussin yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, pihaknya telah mengenal pasti kawasan di Sungai Tinggi, Bagan Panchor, Kuala Sepetang dan Kuala Trong, untuk dijadikan hub perikanan dan pelancongan.

Beliau berkata kawasan terbabit akan dimajukan dengan penjualan produk cederahati dan makanan laut, yang boleh membantu meningkatkan ekonomi para nelayan.

“Saya dapati ada rumah terapung yang boleh disewakan kepada mereka yang gemar memancing, selain perkhidmatan membawa pelancong melihat projek ternakan ikan dalam sangkar dan ternakan kerang,” katanya. – MalaysiaGazette