Noor Hisham ketika melawat ke asrama Top Glove di Klang. Gambar: FB Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengadakan lawatan kerja hari ini ke asrama Top Glove di Klang yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau diberi taklimat mengenai perkembangan terkini pengurusan PKPD membabitkan asrama lelaki dan wanita kilang itu yang terletak di Jalan Teratai, Klang, Selangor.

“Saya sempat bertukar pendapat dengan pihak pengurusan operasi yang terlibat dan mendengar isu berbangkit agar operasi PKPD ini berjaya dalam membendung penularan ke dalam komuniti,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, pengurusan kesihatan di lokasi itu diuruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan Klinik Kesihatan Meru, selain anggota kesihatan dari daerah luar serta badan bukan kerajaan (NGO).

“Aktiviti pengurusan kesihatan meliputi saringan Covid-19, kesiapsiagaan perubatan, pengurusan pemberian arahan home surveillance order (HSO), pengurusan kemasukan kes positif ke hospital dan pengurusan data,” katanya.

Rabu lalu, tujuh daripada 28 kilang Top Glove diarah tutup sehingga 8 Disember selepas merekodkan ribuan kes positif Covid-19.

Setakat 24 November, seramai 4,036 orang disahkan positif Covid019 bagi kluster Teratai, majoritinya pekerja Top Glove, termasuk mereka yang tinggal di Kuala Lumpur.

Daripada jumlah berkenaan, 3,846 orang yang positif bukan warganegara.

Saringan membabitkan seramai 5,777 orang. – MalaysiaGazette