Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin (empat dari kanan) dan Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni bersama Pengurusan Universiti menunjukkan tanda bagus dengan pencapaian e-undi.

KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencatat peratusan pelajar mengundi yang amat baik iaitu 89.79 peratus dalam Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM Sesi 2020/2021.

Peratusan ini mewakili 9,365 orang pelajar daripada 10,429 orang pelajar yang layak mengundi pada semalam bermula dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang menerusi platform atas talian sepenuhnya (e-undi). 

Pengumuman keputusan rasmi Pemilihan MPP USIM 2020/2021 telah dibuat oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin pada jam 7 malam bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3.

 Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) dan Fakulti Pergigian (FPg) mencatat 100 peratus pelajarnya turun mengundi.

Tiga buah fakulti lain turut mencatat peratusan pelajarnya yang tinggi mengundi iaitu Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (98 peratus); Fakulti Sains dan Teknologi (95.53 peratus); dan Fakulti Pengajian Bahasa Utama mencatat 90.94 peratus. 

Menurut Naib Canselor, pemilihan MPP ini amat bersejarah kerana keseluruhannya prosesnya bermula dari proses penamaan calon, kempen dan pembuangan undi dilakukan secara atas talian.

Cabaran besarnya para pelajar kini sebahagian besarnya tidak berada di kampus kerana mengikuti pembelajaran dan pengajaran secara atas talian di rumah masing-masing.  

“Alhamdulillah, saya tidak menjangkakan kita akan mendapat peratusan turun mengundi yang tinggi sebegini kerana menyedari pastinya ada kekangan kepada pelajar memandangkan mereka berada di rumah masing-masing. Ini menampakkan satu semangat bahawa para pelajar kita cakna dalam memilih pemimpin mereka”. 

“Harapan saya adalah sumbangan dan prestasi kepimpinan baharu MPP USIM akan bertambah baik dan tidak semestinya kehidupan norma baharu ini akan menyebabkan prestasi dan sumbangan mereka akan menurun”, ujar  Mohamed Ridza.

Dalam pemilihan kali ini, seramai 39 calon bertanding iaitu seramai 16 calon bertanding bagi mengisi kuota sembilan Kerusi Umum manakala 23 calon bertanding bagi mengisi 18 kuota di Kerusi Fakulti. Pertandingan bagi mengisi Kerusi Fakulti hanya berlaku di empat buah fakulti sahaja manakala lima buah fakulti para calonnya diisytihar menang tanpa bertanding. 

Pertandingan sengit di Kerusi Umum menyaksikan pelajar Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Mior Muhammad Khalis Mior Ahmad Zaini menerima undian tertinggi iaitu sebanyak 6,480.

Merupakan mantan Naib Yang Dipertua Persatuan Pelajar FPQS sesi 2019/2020, tiga manifesto yang di bawa olehnya telah menarik perhatian pelajar iaitu Melahirkan mahasiwa yang berkerjaya dengan merancakkan latihan digital selari dengan revolusi IR 4.0; Melahirkan usahawan yang kompetitif dengan memperkasakan latihan keusahawanan kepada siswa; dan Menambahbaik sistem USIM Mobile. – MalaysiaGAzette