KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Nigeria yang ditahan dalam insiden cuba merogol anak tiri dan mencampak cucu tirinya berusia empat tahun sehingga maut didakwa mempunyai masalah gangguan mental.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, saspek yang kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat kecederaan melompat dari tingkat tiga ketika cuba melarikan diri telah ditahan dan kini direman tujuh hari sehingga 6 Disember ini bagi membantu siasatan kes tersebut yang berlaku di apartmen di Danau Villa Danau Kota, Setapak semalam.
Menurut beliau, hasil soal siasat, rakan dan keluarga saspek mendakwa warga Nigeria itu mengalami masalah mental.
“Saspek didapati berada di bawah pengaruh ubat dan rakan serta ahli keluarga dakwa dia ada msalah mental. Semakan yang dilakukan oleh polis terhadap saspek tidak menemui sebarang rekod perubatan kesihatan lampau.
“Jadi kita masih menyiasat segala dakwaan rakan dan ahli keluarga saspek itu untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Saiful Azly juga menambah siasatan polis mendapati semasa kejadian, saspek yang berusia 42 tahun cuba merogol salah seorang anak tirinya yang sedang tidur di ruang tamu sebelum disedari dan dihalang isterinya wanita tempatan berusia 49 tahun dan anak tiri yang lain.
“Berang dengan tindakan itu, saspek mengamuk dan memukul semua mangsa (termasuk isteri, anak-anak tiri serta mangsa cucu tiri) yang berada di dalam rumah berkenaan,” katanya.
“Isteri dan anak-anak tiri suspek cuba menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah untuk menjerit meminta bantuan jiran dan pengawal keselamatan.
“Melihat perbuatan itu, saspek kemudian mengangkat cucu tirinya yang tidak bermaya, mencampak dari tingkap luar bilik utama sebelum terjun diri untuk melarikan diri namun gagal akibat kecederaan di badan dan kemudian berjaya ditangkap pengawal keselamatan dan diserahkan kepada polis,” ujarnya.
Ujar Saiful Azly, mangsa lain yang cedera ringan dan trauma sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan keadaan mereka stabil manakala mayat kanak-kanak terbabit berada di hospital sama untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan-MalaysiaGazette.
ARTIKEL BERKAITAN:
Gagal rogol anak tiri, warga Nigeria campak cucu hingga maut