KUALA LUMPUR – Jangan tindas operator-operator penghantar makanan hanya kerana kesilapan kecil yang mungkin bukan dilakukan oleh mereka.
Malah, syarikat-syarikat terbabit tidak wajar untuk mengambil kesempatan di atas lambakan permohonan terhadap pekerjaan sebagai operator penghantar makanan lebih-lebih ketika semua orang kini berdepan dengan kesusahan, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
“Saya serulah kepada syarikat-syarikat penghantar makanan ketika keadaan semua orang sedang sempit dengan kehidupan tiada kerja mereka tiada pilihan lain kecuali untuk bersama dalam ekonomi gig.
“Jadi, janganlah kita tindas anak-muda, ibu-ibu tunggal yang mana mereka tiada punca rezeki dan inilah sahaja punca rezeki mereka buat masa ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan operator penghantar makanan di KL Gateway hari ini.
Sambil memberikan contoh, Wan Ahmad Fayhsal berkata, masalah penyediaan yang tidak kemas oleh sesebuah premis menjual makanan hingga menyebabkan makanan yang dipesan pelanggan tertumpah ketika penghantaran dibuat terpaksa ditanggung oleh operator terbabit.
Katanya, perkara itu jelas menunjukkan kesilapan itu sebenarnya bukan dilakukan oleh operator penghantar sebaliknya penyedia makanan itu sendiri namun semua itu kebiasaannya kesalahan dituju kepada operator penghantaran.
Justeru, beliau yang juga Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) menggesa agar syarikat-syarikat penghantar makanan mengadakan hubungan baik dengan operator penghantar dan serta tidak membuang mereka dengan sesuka hati.
Bagi tujuan itu juga kerajaan bercadang menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara yang salah satunya berfungsi untuk menjaga kebajikan mereka yang terlibat dalam industri penghantar makanan.
Jelas beliau, menerusi penubuhan Majlis Pekerjaan Negara itu nanti syarikat-syarikat monopoli industri penghantar makanan tidak lagi boleh mengeksploitasi operator penghantar mereka walau dengan apa cara sekalipun.
“Kalau tidak ada undang-undang yang jelas eksploitasi terhadap anak-anak muda ini akan terus berlaku. Bila berlaku ramai yang meninggal dunia sebab mereka berkejar kerana tidak mahu hilang markah. Itu yang ramai cedera dan itu juga yang menyedihkan sebab sistem yang tidak adil,” ujarnya.
Dalam pertemuan yang turut disertai Persatuan P-Hailing (Penghantar) Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal turut menyampaikan beg Funny Pack kepada kira-kira 50 operator penghantar makanan.
Sebanyak 200 beg Funny Pack telahpun diberikan kepada operator penghantar makanan di bebarapa kawasan di Lembah Klang dan pemberian tersebut merupakan sumbangan prihatin Pemuda Perikatan Nasional terhadap mereka yang terlibat dalam industri penghantar makanan. – MalaysiaGazette