Ketua Jurulatih pasukan PKNS FC, Datuk K. Rajagobal ketika hadir pada karpet merah Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2019 (ABK19) di Hotel Tenera, Bangi, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 15 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) mengesahkan bekas jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal dilantik sebagai jurulatih baharu pasukan Brunei untuk tempoh dua tahun.

Media Brunei melaporkan, pengumuman itu dibuat oleh Presiden NFABD, Pengiran Matusin Pengiran Matassan yang mengharapkan kehadiran Rajagobal dapat membawa Brunei Darussalam ke peringkat yang lebih tinggi.

“Selepas beberapa minggu membuat penilaian dalam permohonan bagi jawatan ketua jurulatih Brunei Darussalam, Jawatankuasa Eksekutif NFABD ingin memaklumkan bahawa NFABD melantik K Rajagobal dari Malaysia sebagai ketua jurulatih baharu Brunei Darussalam bagi tempoh dua tahun.”

“Ini bukanlah satu keputusan yang mudah. Keputusan dibuat berdasarkan beberapa siri dialog selepas mempertimbangkan aspek teknikal dan kewangan,” katanya.

Sebagai rekod, NFABD menerima permohonan dari Jerman, Serbia dan beberapa permohonan dari rantau ini.

Sementara itu, Pengiran Matusin mengakui kejayaan Rajagobal membawa Malaysia memenangi Sukan SEA 2009 dan Piala AFF 2010 menjadi antara faktor mereka memilih jurulatih berpengalaman itu.

“Pencapaian ini mendorong NFABD untuk memberi pertimbangan serius kepada K Rajagobal. Selain itu, pemohon lain turut mempunyai pencapaian yang serupa tetapi belum mencapai peringkat juara.

“Rajagobal juga tidak asing untuk bola sepak Brunei Darussalam kerana pasukan kebangsaan pernah bermain di Piala Malaysia ketika beliau mengendalikan dan bermain untuk kelab di Malaysia.

“Oleh itu, beliau boleh memahami situasi pemain Brunei dan saya yakin bahawa ini akan menjadi satu bonus untuk mempersiapkan pasukan kebangsaan,” katanya. – MalaysiaGazette