KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di Plaza Tol Sedenak, Johor disahkan positif Covid-19.

Sehubungan itu, PLUS menutup sementara tol berkenaan untuk proses disinfeksi.

“Kakitangan tersebut seorang Pembantu Khidmat Pelanggan pada ketika ini sedang dirawat di sebuah pusat perubatan kerajaan.

“Pada masa yang sama, PLUS memberi jaminan bahawa kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan akan diadakan di plaza tol terbabit.

“Sehubungan dengan itu, Plaza Tol Sedenak akan ditutup sementara mulai jam 12:00 tengahari pada 2 Disember (Rabu) untuk kerja-kerja sanitasi dan pembersihan selama 6 jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, PLUS turut menjalankan pengesanan kontak dan mereka yang terbabit diminta supaya mengadakan pemeriksaan dan saringan kesihatan.

Orang ramai dari Sedenak dan kawasan sekitar yang ingin menuju ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru boleh memasuki lebuh raya PLUS menerusi Plaza Tol Simpang Renggam atau Kulai sepanjang tempoh penutupan tersebut.

Bagi pelanggan dari Kuala Lumpur yang menghala ke Sedenak dinasihatkan supaya keluar dari lebuh raya menerusi Plaza Tol Simpang Renggam, manakala bagi pelanggan dari Johor Bahru yang menghala ke Sedenak dinasihatkan supaya keluar dari
lebuh raya menerusi Plaza Tol Kulai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast