Bagus Kahfi.

KUALA LUMPUR – Impian pemain muda Indonesia, Amiruddin Bagus Kahfi untuk beraksi dengan kelab Eropah akhirnya menjadi kenyataan apabila dia ditawarkan kontrak selama 18 bulan menyertai kelab Liga Eredivisie, FC Utrecht.

Bagaimanapun, pemain yang berusia 18 tahun itu tidak akan beraksi dengan pasukan utama,sebaliknya dia akan menyertai pasukan ‘feeder club’ iaitu Jong Utrecht dalam saingan liga Divisyen 2.

Dia mengalami patah pergelengan kaki awal tahun ini.

“Bagus Kahfi dikontrakkan selama 18 bulan. Baki tujuh bulan sehingga pertengahan musim depan dikira sebagai ‘recovery’. Sebab dia perlu menjalani proses pemulihan,” kata pemilik program Garuda Select, Mirwan Suwarno.

Mengenai peluang beraksi dalam kesebelasan utama, Mirwan juga tidak begitu pasti bagaimana FC Utrecht akan menilai kemampuan pemain tersebut sebelum disenaraikan dalam pasukan ‘match day’.

“Saya tidak tahu apakah Bagus Kahfi boleh diturunkan untuk beraksi dengan Jong Utrecht atau skuad senior Utrecht,” jelasnya.

Bagus juga merupakan satu lagi pemain muda dari Asia Tenggara yang berkelana ke kelab Eropah seperti mana pemain negara, Luqman Hakim Shamsudin mencipta sejarah buat penampilan pertama dengan kelab Belgium, KV Kortrijk.

Kedua-dua pemain ini pernah berentap dalam kejohanan AFF B-18 di Vietnam pada tahun 2019 apabila Malaysia berjaya menewaskan Indonesia 4-3 di peringkat separuh akhir.

Meskipun menyertai FC Utrecht, Bagus tetap pulang ke Indoensia jika mendapat panggilan untuk menyertai kem skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan Piala Dunia bawah 20 tahun pada 2021 nanti. – MalaysiaGazette