KUALA LUMPUR – Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) dukacita dan kesal dengan tindakan akhbar The Star menamatkan perkhidmatan pekerja mereka termasuk dua di bahagian sukan.

SAM dalam satu kenyataan berkata, dua petugas di bahagian sukan yang ditamatkan perkhidmatan mereka ialah seorang penyunting sukan dan seorang wartawan sukan yang juga ahli SAM yang hampir 10 tahun menaburkan khidmat bersama akhbar berkenaan.

“SAM menyedari mengenai masalah yang dihadapi oleh industri media sejak kebelakangan ini, tetapi pemilik media juga harus memandang sumbangan dan kepentingan laporan sukan yang sejak sekian lama memainkan peranan secara tidak langsung memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

“Inilah yang sepatutnya diberi perhatian oleh pengurusan atau pemilik media di negara ini.

Biarpun pimpinan pengurusan tertinggi akhbar tertentu di Malaysia tidak meminati sukan tetapi bahagian sukan jangan dianak-tirikan termasuk mengecilkan ruangan untuk berita-berita sukan.

“Rakyat Malaysia khususnya peminat sukan juga mahu mengetahui perkembangan sukan negara yang juga menjadi antara agenda negara untuk melahirkan masyarakat yang sihat, berdisiplin dan bersatu-padu,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

SAM berharap pihak The Star agar mempertimbangkan semula keputusan mereka dan memberi peluang kepada kakitangan bahagian sukan yang ditamatkan perkhidmatan itu untuk terus menyumbang tenaga bersama akhbar berkenaan.

Media hari ini melaporkan, sekurang-kurangnya 40 kakitangan editorial akhbar The Star adalah antara 100 kakitangannya yang diberhentikan semalam dalam usaha syarikat itu mengecilkan saiz operasinya.

Langkah ini merupakan pengurangan kakitangan kali keempat dalam tempoh tujuh tahun lalu berikutan penawaran skim pemisahan sukarela (VSS), skim pemisahan bersama (MSS) dan tawaran persaraan awal (ERO) yang dilaksanakan pada tahun 2013, 2017 dan 2018. – MalaysiaGazette