Warga asing di Malaysia akan diberi vaksin Covid-19 dalam usaha mewujudkan persekitaran selamat. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Perkeso, Dr Azlan Darus berkata pihaknya hanya membiayai pembelian kit saringan, manakala caj perkhidmatan ditentukan sendiri oleh pihak klinik serta hospital.

“….Perkeso menyarankan agar pihak klinik dan hospital dapat mengenakan kos yang minimum kepada majikan, kerana ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial mereka bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bernama sebelum ini melaporkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan melaksanakan Program Saringan COVID-19 Bagi Pekerja Asing secara bersasar berdasarkan lokaliti zon merah yang mempunyai kepadatan pekerja asing yang tinggi, bermula 1 Dis lepas (Selasa).

Dr Azlan berkata susulan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 Nov lepas, Perkeso hanya akan membiayai pembelian kit saringan RTK-Antigen dan tidak lagi menyediakan subsidi saringan ataupun menerima tuntutan bayaran daripada majikan, klinik mahupun hospital dalam program saringan pekerja asing itu.

Katanya bagi memastikan kos ujian saringan dapat dikurangkan, Perkeso telah mendapatkan bekalan kit saringan terus daripada pembekal dan mengedarkannya kepada klinik serta hospital yang menyertai program berkenaan.

“Ujian saringan yang dijalankan dengan kolaborasi bersama klinik dan hospital ini juga diharap boleh mengurangkan kos ujian saringan yang perlu ditanggung oleh pihak majikan,” katanya.

Selain itu, Dr Azlan berkata Perkeso juga mengalu-alukan penyertaan daripada semua kemudahan jagaan kesihatan swasta untuk mengambil bahagian dalam program saringan COVID-19 bagi pekerja asing ini.

“Bagi klinik atau hospital yang berminat, bolehlah mendaftar di sihat.perkeso.gov.my. Untuk pendaftaran yang berjaya, Perkeso akan membekalkan kit saringan dan seterusnya akan memantau proses pelaksanaan ujian saringan tersebut.

“Klinik dan hospital swasta yang mengambil bahagian perlu mematuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan bagi pelaksanaan ujian saringan RTK-Antigen,” katanya.

— BERNAMA