KUALA LUMPUR – Pemulihan permintaan dalam industri minyak dan gas masih lemah berikutan peningkatan kes baharu COVID-19 manakala penawaran minyak dijangka kekal berlebihan sehingga separuh pertama 2021, menurut penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Minyak mentah Brent pula diunjurkan berharga pada purata AS$51 (AS$1=RM4.09) setong tahun depan, katanya.

Menerusi nota penyelidikan mengenai Unjuran Sektor Minyak dan Gas 2021 hari ini, bank pelaburan itu menjelaskan pandemik global telah mengakibatkan permintaan minyak mentah dunia susut sebanyak 30 peratus dalam tempoh beberapa bulan pertama penularannya.

Menurutnya, permintaan itu bagaimanapun masih belum pulih pada tahap sebelum COVID-19 melanda.

“Kami berpandangan harga minyak mentah akan terus diniagakan di antara AS$45 dengan AS$50 setong pada separuh pertama 2021. Kami menjangkakan pemulihan besar-besaran berlaku pada separuh kedua 2021, sekiranya pandemik dapat dikekang sebaik mungkin di seluruh dunia dan vaksin berjaya dibangunkan,” katanya.

Menurutnya, Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) dijangka terus mengehadkan penawaran sehingga 2021, dan langkah itu akan turut menstabilkan harga minyak pada separuh pertama 2021 manakala permintaan pulih secara berperingkat.

Bank pelaburan itu mengunjurkan pemulihan permintaan minyak mentah dicatatkan pada suku akan datang.

Bagaimanapun ia akan bergantung pada dasar perdagangan luar negara oleh presiden baharu yang dipilih Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, yang akan menentukan trajektori bagi perang perdagangan AS-China yang berpanjangan, yang ketika ini reda susulan Covid-19.

Secara keseluruhan, penyelidikan MIDF mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas sektor huluan dan subsegmen hiliran memandangkan sektor ini akan terus rentan ekoran perkembangan berterusan pandemik.

Pengeluar minyak huluan serta penyedia perkhidmatan minyak dan gas mempunyai peranan penting untuk menyeimbangkan pertumbuhan masa depan selain kemampanan perniagaan dan pada masa sama mengharungi persekitaran operasi yang buruk sehingga 2021, katanya.

Sementara itu, AmInvestment Bank menerusi nota penyelidikan mengenai Sektor Minyak dan Gas mengekalkan unjurannya bagi 2020 pada AS$40 hingga AS$45 setong,  serta AS$45 hingga AS$50 setong pada 2021.

Ini disokong oleh inventori minyak mentah AS yang berkurangan sebanyak 10 peratus kepada 488 juta tong pada masa ini daripada paras tertinggi sepanjang masa 541 juta tong pada Jun tahun ini.

“Berlandaskan harga semasa minyak mentah Brent yang stabil di atas AS$40 setong, kami yakin kitaran menurun telah mencapai tahap terendahnya apabila prestasi terburuk dicatatkan pada April tahun ini ketika harga Brent menjunam kepada AS$14 setong sementara niaga hadapan berubah menjadi negatif yang luar biasa kerana kekurangan kapasiti penyimpanan,” katanya.

Bank pelaburan itu juga mengekalkan saranan ‘overweight’ bagi sektor ini, dengan syor ‘beli’ ke atas Yinson, Petronas Gas, Dialog Group, Serba Dinamik Holdings dan Bumi Armada. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast