Mior Faridalathrash Wahid Padang Ipoh nasi ganja order helicopter
Mior Faridalathrash Wahid

IPOH – Polis tidak menolak kemungkinan pengawasan dan kawalan ketat di sempadan Malaysia-Thailand di Perlis dan Kedah, membuatkan sindiket penyeludupan beralih arah ke sempadan Pengkalan Hulu, Perak dan Betong di Wilayah Yala selatan Thailand.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketika ini sempadan Pengkalan Hulu-Betong itu kurang menjadi perhatian penyeludup bagi menjalankan aktiviti haram, kerana bentuk muka bumi yang berbukit bukau dan dilitupi hutan tebal.

“Disebabkan itu sempadan ini bukan pilihan utama untuk penyeludupan, tapi tidak menolak kemungkinan laluan itu mungkin menjadi sasaran selepas ini dan sudah pasti kita setiap masa memperketat kawalan bersama beberapa agensi keselamatan yang lain.

“Jarak antara pintu sempadan di Pengkalan Hulu dengan pekan paling dekat dalam kawasan negara jiran iaitu Bentong hanya 700 meter jadi tahap kawalan amat tinggi,” katanya ketika ditemui Bernama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, penugasan keselamatan dan pemantauan di sempadan yang mempunyai tembok sepanjang 12 kilometer (km) dan pagar kawat duri 11.4km, turut melibatkan agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan (Aksem), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Katanya, sesiapa yang ingin memasuki kawasan sempadan perlu melalui sekatan jalan raya (SJR) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, yang turut dibantu Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Mior Faridalathrash berkata, tidak dinafikan berlaku penyeludupan di sempadan itu, terutama melibatkan barangan makanan seperti minyak masak, tepung gandum, gula, susu dan beras Thailand, selain ketum, dadah, senjata api tetapi bukan dalam jumlah yang besar.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga September lepas, sebanyak 14 kes penyeludupan direkodkan yang membawa kepada penangkapan sembilan individu, termasuk seorang bukan warganegara.

“Antara rampasan yang cuba diseludup bagi tempoh itu adalah tiga kenderaan, 117,316 batang rokok dan lebih 1,000 liter minuman keras dengan keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM330,537,” katanya.

Ditanya sama ada pasukan keselamatan di sempadan Perak pernah menerima ancaman atau diserang penyeludup, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya tidak menerima laporan mengenai perkara tersebut setakat ini.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya turut meningkatkan risikan bagi membanteras sindiket penyeludupan yang menggunakan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli untuk membawa daun ketum dari Kedah ke Kelantan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast