Markas Judi Online yang beroperasi d sebuah kondominium elit di Mount Kiara dibongkar dalam serbuan Polis IPD Brickfields diketuai Ketua Polisnya ACP Mohd Anuar Omar semalam.

KUALA LUMPUR – Sebuah kondominium elit di Mount Kiara yang menjadi markas operasi satu sindiket yang mempromosikan kegiatan judi dalam talian di China berjaya dihidu pihak polis.

Taktik secara tersembunyi itu tidak bertahan lama apabila premis itu diserbu sekitar jam 2.30 petang semalam oleh empat pegawai serta 10 anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, dalam serbuan itu pihak berjaya menahan 11 lelaki serta seorang wanita warga China yang berusia antara 25 hingga 45 tahun.

“Semasa serbuan, polis mendapati semua suspek sedang sibuk mengendalikan komputer riba masing-masing di ruang tamu rumah mewah itu.

“Pemeriksaan rapi di unit tersebut polis dapat mengesan pergerakan aktiviti dipercayai mempromosikan kegiatan judi dalam talian di China dilakukan semua suspek itu.

“Selain itu pemeriksaan lanjut turut merampas beberapa komputer riba serta telefon bimbit yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan terlarang itu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Anuar, siasatan awal polis mendapati sindiket itu baru sahaja beroperasi dengan menyewa kediaman berkenaan sejak dua minggu lalu.

Menurut beliau, modus operandi sindiket ini adalah mempromosikan kegiatan judi dalam talian menggunakan platorm media sosial iaitu Aplikasi WeChat kepada pelanggan di China.

“Pemeriksaan lanjut di unit itu turut menemui banyak bekalan makanan dan minuman dipercayai bagi keperluan semua suspek yang menetap di rumah itu.

“Semakan dan siasatan lanjut polis mendapati sindiket itu dipercayai menyewa rumah berkenaan dengan bayaran bulanan antara RM3,000 hingga RM5,000,” katanya.

Ujarnya, polis percaya kegiatan itu didalangi seorang individu warga tempatan dan siasatan mendalam mengenainya sedang dipergiatkan.

Jelas beliau, semua suspek yang tidak mempunyai pasport perjalanan sah telah ditahan dan dibawa ke IPD Brickfields untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Imigresen 1959/1963.

“Polis tidak akan berkompromi dalam hal judi atas talian ini dan tindakan tegas akan menyusul terhadap mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan judi dalam talian di daerah ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan aktiviti judi dalam talian di daerah ini diminta menghubungi talian hotline IPD Brickfields di talian 03-22979222 untuk tindakan lanjut,” tegas beliau.- MalaysiaGazette