PATI yang ditahan oleh pasukan TLDM ketika cuba menyusup masuk ke negara ini melalui kawasan persisiran pantai dari Tanjung Penyusop hingga ke Kampung Simon, Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor. Gambar: Ihsan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia.

KUALA LUMPUR – Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba menyusup masuk ke negara ini ditahan dalam Op Benteng yang dilakukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) awal pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, tangkapan dibuat kira-kira pukul 1.40 pagi di kawasan persisiran pantai dari Tanjung Penyusop hingga ke Kampung Simon, Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor.

Menurut kenyataan itu, tangkapan tersebut berlaku di kawasan di bawah tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia dan dibuat oleh pasukan Tim Quick Reaction Force (QRF) bersama Tim Drone dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) bersama Pegawai Perhubungan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Pasukan telah mengatur gerak dengan mengepung kawasan berkenaan. Hasil serbuan yang dilakukan telah berjaya menahan 13 PATI warga Indonesia yang sedang bersembunyi di Kuari Baru, Pantai Kampung Tanjung Che Lahom,” katanya.

Tambah kenyataan itu, kesemua PATI yang ditangkap terdiri daripada sembilan lelaki dan empat perempuan berusia antara 21 hingga 47 tahun dengan memasuki negara ini secara tidak sah.

Turut dirampas dalam operasi itu wang tunai ringgit Malaysia berjumlah RM 2,728.70, matawang Indonesia IDR 8,286,700.00 (RM 2,392.65) serta beberapa mata wang lain bersama 15 buah telefon bimbit, jam tangan dan barang kemas yang kesemua sekali bernilai RM34,619.99.

Katanya, kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia.

Laporan polis tangkapan itu dibuat di Balai Polis Bayu Damai dan pasukan berkenaan kini meneruskan gerakanbagi menjejak kemungkinan terdapat saki baki PATI di sekitar kawasan operasi tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast