Sebahagian daripada 44 individu yang ditahan susulan pergaduhan merebut pelanggan di Plaza Low Yatt semalam.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya mendapatkan reman ke atas 44 individu warga tempatan yang terlibat dalam rusuhan di kawasan pusat membeli belah Plaza Low Yat, Bukit Bintang, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua mereka ditangkap kerana merusuh sehinggga mengganggu ketenteraman awam.

Pergaduhan itu dikatakan tercetus kerana merebut pelanggan.

Katanya, polis menerima maklumat panggilan orang awam yang memaklumkanĀ  pergaduhan di Plaza Low Yat dan suspek-suspek terdiri daripada sekumpulan lelaki warga tempatan.

“Bertindak atas maklumat itu semalam jam lebih kurang 8.15 malam, Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi telah pergi ke tempat kejadian dan telah menangkap seramai 44 orang warga tempatan terdiri daripada 41 lelaki dan 3 perempuan.

“Siasatan awal yang dijalankan mendapati punca kejadian pergaduhan itu tidak mempunyai sebarang kaitan pergaduhan antara kaum, sebaliknya ia adalah membabitkan lelaki yang tidak berpuas hati apabila pelanggan mereka diambil oleh peniaga lain.

“Tangkapan terdiri daripada pemilik kedai, pekerja dan orang awam yang berumur dalam lingkungan 20 tahun hingga 35 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kesemua suspek dibenarkan direman selama tiga hari mulai hari ini hingga 7 Disember ini bagi tindakan dan siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana merusuh.

“Pihak PDRM mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan mematuhi undang-undang sedia ada.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya bersama-sama menjaga keharmonian masyarakat agar kita semua dapat hidup dalam keadaan aman sejahtera dan PDRM juga memohon orang ramai agar tidak menularkan video yang boleh mendatangkan kegusaran awam” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette

 

Bergaduh rebut pelanggan di Plaza Low Yat