Tan Sri Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Draf Perlembagaan untuk membentuk dan mendaftarkan Muafakat Nasional (MN) secara sah sudah disediakan sepenuhnya.

Salinan draf Perlembagaan MN sudah diedarkan kepada pemimpin Pas dan UMNO untuk disemak dan memperhalusi isi kandungannya.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebelum membuat keputusan untuk mendaftarkan MN sebagai parti politik yang sah, syarat pertamanya perlembagaan parti perlu dirangka dan disiapkan terlebih dahulu.

“Untuk makluman, ia (Perlembagaan MN) sudah disiapkan dan saya sudah edar draf salinan kepada pemimpin Pas dan juga UMNO untuk mereka melihat salinan draf tersebut dan saya menunggu arahan selanjutnya,” katanya pada sidang media Program MyFood@PPR Kerinchi, Lembah Pantai pagi ini.

Yang pastinya, kata Annuar, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan sudah mempunyai salinan draf Perlembagaan MN

“Manalah tahu sekiranya draf itu hendak dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi UMNO dahulu, atau jawatankuasa Pas dahulu untuk memutuskan tindakan lanjut.

“Mereka mungkin hendak memberi pandangan pada mesyuarat akan datang, tidak bolehlah satu pihak sahaja buat (keputusan), kena buat (keputusan) secara bersama (semangat MN),” tambahnya.

Menurut beliau, pihakya tidak boleh bertindak sesuka hati dalam soal pembentukan Perlembagaan MN kerana mempunyai implikasi tersendiri jika salah langkah.

“Kita tidak boleh buat secara suka-suka, perlembagaan itu ada implikasinya, misalnya Muafakat Nasional ditadbir oleh siapa.

“Kita kena putuskan mungkin kita hendak pakai konsep majlis Syura seperti dalam Pas, tanpa ada jawatan pengerusi misalnya, kemudian lambang MN.

“Dalam perkara ini, saya sudah minta penglibatan dari masyarakat untuk cadangkan apa lambang yang sesuai (digunakan) oleh MN (sebagai parti politik berdaftar secara rasmi).

“Dari segi itu, kita sudah selesai dan kita tunggu ke mesyuarat akan datanglah untuk bincang lebih lanjut dan baru diputuskan ,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. MN sebuah organisasi/muafakat yang sangat berpotensi tinggi tetapi cuba dihuruharakan oleh Bersatu? Muafakat ini sangat diterima baik diperingkat akar umbi.

    Keputusan2 PRU lalu amat jelas menunjukkan jika kedua2 UMNO PAS bersatu didalam sebuah muafakat mereka akan mendapat majoriti besar untuk menang!

    Kerusi2 yang dicuri Bersatu WAJIB dipulangkan semula kepada UMNO!

Comments are closed.