KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Kelantan mengingatkan Pemuda MCA Kebangsaan tidak cepat melatah dengan isu yang berlaku di Perak.
Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, sikap celupar Naib Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Chua Hock Kuan berhubung isu itu akan memberikan persepsi negatif kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya.
“Kami terkejut dengan pernyataan Hock Kuan yang mencetuskan tuduhan amat tidak berasas kepada UMNO Perak.
“Ternyata ianya satu niat jahat bagi memberi persepsi negatif kepada UMNO dan BN di negeri itu.
“Pernyataan berniat jahat pemimpin MCA ini akan memberi impak negatif kepada hubungannya sebagai komponen BN. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Hock Kuan menerusi Facebooknya semalam, mempersoalkan disiplin ADUN UMNO Perak yang membelakangi dasar diputuskan parti “Tanpa DAP, Tanpa Anwar”.
Apapun alasan diberi, katanya, hanyalah matlamat menghalalkan cara, perkara yang boleh dijadikan alasan itu bagai orang mengantuk disorongkan bantal dan ketidakpuasan hati dijadikan perisai.
Menurut Noor Hariri, Pemuda MCA tidak perlu mempertikaikan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri dari UMNO Perak mengemukakan usul undi percaya terhadap Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Tegasnya, UMNO negeri itu tidak pernah melanggar dasar parti.
“Mereka tidak pernah menyokong DAP. Mereka hanya ingin menukar Menteri Besar dengan cara yang sah dan mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak dengan sokongan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Oleh itu, Hock Kuan jangan biadab mempertikaikan semangat setiakawan UMNO.
“Kamu jangan lupa bagaimana pengorbanan jentera UMNO bergalang ganti dan separuh nyawa berkempen untuk kemenangan calon MCA di Tanjong Piai demi memberi manifestasi kekuatan Muafakat Nasional (MN),” katanya.
Pemuda UMNO Kelantan memberi amaran keras kepada Hock Kuan agar jangan sekali-kali campur urusan parti itu.
“Jangan lagi mengharapkan undi kawasan Melayu untuk memenangkan calon anda. Perkuatkan parti anda untuk menarik sokongan orang Cina kembali bagi menyumbang kerusi kepada BN.
“Kami tuntut permohonan maaf dari anda,” katanya.
Persidangan DUN Perbekalan (2021) Perak semalam, menyaksikan berlaku usul undi percaya yang dikemukakan oleh ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abdul Manaf Hashim.
Menerusi undi belah bahagi itu, 48 ADUN termasuk blok pembangkang tidak setuju, 10 ADUN bersetuju dan seorang berkecuali.
Dengan keputusan itu, mandat DUN terhadap Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar berakhir dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah perlu mencarikan pengganti. – MalaysiaGazette