Penduduk di Kampung Tengah, Tanjung Ipoh di sini meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan, untuk memperhebatkan lagi pemantauan dan pencarian seekor harimau kumbang di kawasan itu.- Gambar hiasan.

KUALA PILAH – Penduduk di Kampung Tengah, Tanjung Ipoh di sini meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan, untuk memperhebatkan lagi pemantauan dan pencarian seekor harimau kumbang di kawasan itu.

Ini susulan dakwaan penemuan kesan tapak haiwan berkenaan di sebuah kebun tinggal oleh penduduk dan anggota polis yang melakukan rondaan di sekitar kawasan kampung berkenaan tengah malam tadi.

Menjelaskan perkara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tengah Ulu, Hasmeon Mat Arbak berkata sebelum kesan tapak kaki harimau dijumpai, beliau terlebih dahulu ternampak satu kelibat, dipercayai haiwan berkenaan berhampiran sebuah kebun tinggal.

“Ketika itu saya bersama lima penduduk kampung termasuk anggota polis dari Balai Polis Tanjong Ipoh melakukan rondaan sekitar kampung, ternampak kelibat dan sepasang mata bersinar berwarna oren dipercayai harimau kumbang, semasa menyuluh ke arah kebun tinggal dalam kejadian lebih kurang 12.45 tengah malam.

“Jarak kami dengan harimau kumbang itu lebih kurang 50 meter dan haiwan itu kemudian melarikan diri sebaik menyedari kehadiran kami. Ketika menjejak haiwan di sekitar kawasan itu, kami telah terjumpa kesan tapak kaki yang dipercayai tapak kaki harimau,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata penemuan kesan tapak kaki harimau itu adalah yang pertama kali dijumpai selepas laporan pertama yang dibuat penduduk, yang menyatakan harimau kumbang membaham haiwan ternakan mereka pada 30 Okt lepas.

“Setakat ini saya telah menerima tiga aduan daripada orang kampung yang terserempak dengan harimau kumbang dan ada antara mereka berkata pernah terserempak haiwan berkenaan melintas jalan ketika menaiki motosikal pada malam hari.

“Bagaimana pun keadaan adalah terkawal dan penduduk diminta supaya lebih berhati-hati terutamanya ketika keluar pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Negeri Sembilan Wan Mat Wan Harun ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan penduduk itu berkata, pihaknya telah melakukan pemantauan ketat susulan terdapat laporan yang mendakwa haiwan berkenaan telah membaham dua ekor lembu.

“Kita telah meletakkan perangkap kamera berdekatan perangkap harimau yang telah dipasang pada 14 Nov lepas, serta mengumpan mengunakan anak kambing biri-biri dan setakat ini, kita masih belum dapat menjejaki hidupan liar dilindungi itu,” katanya.-BERNAMA