Leow Thye Yih

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Asam dari DAP Perak dilihat tidak sealiran dengan pengerusi partinya sendiri berhubung langkah menjalinkan kerjasama dengan UMNO bagi menubuhkan kerajaan baharu di negeri itu.

Leow Thye Yih berkata menolak kerjasama dengan UMNO dan tidak akan menyokong calon menteri besar daripada parti itu.

“Saya berharap dan menyeru rakan-rakan seperjuangan DAP khasnya ADUN-ADUN DAP Negeri Perak menyokong pendirian saya dan seterusnya menolak mana-mana calon daripada UMNO sebagai Menteri Besar Perak berikut,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Thye Yih menegaskan, beliau membuat keputusan untuk menyertai DAP pada tahun 2009 kerana Barisan Nasional ketika itu diketuai oleh UMNO telah menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri berkenaan.

Katanya, peristiwa tersebut merupakan satu sejarah hitam yang tidak dapat dilupakannya.

Malah, beliau berkata, negara telah mencipta sejarah pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) di mana sokongan padu rakyat Pakatan Harapan (PH) telah menumbangkan kerajaan BN dan buat pertama kalinya membentuk kerajaan Pusat dan beberapa kerajaan negeri di Malaysia.

“Akan tetapi, UMNO sekali lagi pada tahun ini telah merampas kerajaan Pakatan Harapan Persekutuan, kerajaan negeri Perak serta beberapa kerajaan egeri Pakatan Harapan yang lain, tindakan UMNO sedemikian telah jelas menderhakakan mandat rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, kedua-dua peristiwa berkenaan mengingatkan dirinya bahawa beliau tidak akan menyokong mana-mana calon daripada UMNO sebagai Menteri Besar Perak yang berikutnya.

Hari ini, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dilapor berkata, PH sedia untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti termasuk UMNO bagi membentuk sebuah kerajaan yang stabil di Perak.

Katanya, langkah itu adalah demi kepentingan rakyat dan PH bersedia untuk bekerjasama dalam membentuk kerajaan pelbagai kaum yang kukuh.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PH sedia jalin kerjasama dengan UMNO Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. betul lah itu pandangan peribadi. kalau diikutkan memang lah umno tak boleh diberi mandat lagi. tapi masih ada rakyat yang memilihnya. sehingga umno berkuasa semula. sabar lah tengok apa kata rakyat dimasa hadapan.

Comments are closed.