Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan negara ini belum mempunyai sebarang dokumen mengenai vaksin Covid-19 daripada syarikat Pfizer.

Justeru itu, Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tanpa apa-apa dokumen, maka kerajaan tidak boleh membuat penilaian untuk proses pendaftaran.

“KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga kini, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) masih belum menerima sebarang dokumen daripada syarikat Pfizer untuk penilaian pendaftaran dan pengujian produk vaksin Covid-19.

“Ini sekaligus tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan isu masalah pembekalan dos vaksin tersebut sebagaimana yang dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rabu lalu, Noor Hisham berkata, pihaknya mengambil pendekatan tunggu dan lihat keberkesanan vaksin Covid-19 yang akan digunakan di United Kingdom (UK), mulai minggu depan.

Pemerhatian itu tambah Noor Hisham bagi memastikan tiada kesan sampingan terhadap pengguna vaksin berkenaan.

Sebelum ini, Britain telah memulalan penilaian terhadap vaksin oleh kedua-dua syarikat itu dan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan diberitahu untuk bersedia mulai 1 Disember lalu.

Jelas Noor Hisham lagi, KKM akan sentiasa memantau perkembangan produk vaksin Covid-19 oleh Pfizer dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab NPRA, KKM untuk memastikan sebelum sesuatu produk didaftarkan untuk dipasarkan di Malaysia, ia perlu terlebih dahulu melalui proses penilaian dan pengujian berasaskan prinsip-prinsip kualiti, keselamatan dan juga keberkesanan.

“NPRA juga memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin serta ubat-ubatan yang berdaftar sentiasa terjamin melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans,” katanya lagi.

UK dilaporkan akan menjadi negara pertama membenarkan penggunaan vaksin Covid-19 Pfizer/BioNTech kepada orang ramai setelah pemerintah negara itu pada semalam secara klinikal meluluskan suntikan itu.

Vaksin itu yang memberikan perlindungan 95 peratus terhadap Covid-19 akan dilancarkan seawal minggu depan, menurut kenyataan pemerintah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/2020/12/02/malaysia-tunggu-dan-lihat-keberkesanan-vaksin-pfizer/