Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Agensi Makanan Singapura (SFA) berhubung dakwaan penemuan bakteria dalam produk air minuman berbungkus (AMB) jenama Meadows keluaran Malaysia.

KUALA LUMPUR –  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Agensi Makanan Singapura (SFA) berhubung dakwaan penemuan bakteria dalam produk air minuman berbungkus (AMB) jenama Meadows
keluaran Malaysia.

Manakala jelas Pengarah Keselamatan dan Kualiti Makanan, Mohd Salim Dulatti, kumpulan dari jenama yang sama tidak dipasarkan di Malaysia.

“KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang mendapatkan maklumat lanjut dari pihak SFA,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 4 Disember yang lalu, pihak berkuasa Singapura memerintahkan penarikan balik air minuman dalam botol diimport dari Malaysia selepas didapati ia dicemari bakteria yang biasanya terdapat dalam najis, tanah, air dan kumbahan.

SFA berkata, pihaknya mengesan bakteria pseudomonas aeruginosa dalam botol air Meadows ketika ujian rutin produk.

Bakteria itu diketahui menyebabkan jangkitan pada darah dan radang paru-paru dalam tubuh manusia selain menyebabkan penyakit pada tumbuhan dan haiwan.

Dalam pada itu KKM menegaskan, produk AMB untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983.

“Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi kenyataan yang sama.

KKM tambah Mohd Salim, sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” ujarnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pelik. Kerap betul SFA jumpa problem dlm mknn dr malaysia. KKM pulak selalu tertinggal blkg. Kurang test atau buat lebih kurang jer?

Comments are closed.