Mohd Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR – Hutang kerajaan Persekutuan pada akhir September 2020 telah mencatat RM874.3 bilion atau 60.7 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Namun berdasarkan pengiraan had statutori nisbah hutang kerajaan Persekutuan yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) baru mencatat 56.6 peratus.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah secara keseluruhan pendedahan hutang dan liabiliti kerajaan dianggarkan berjumlah RM1,257 bilion atau 87.3 peratus daripada KDNK September 2020.

“Kerajaan komited untuk pastikan pembiayaan semula hutang kerajaan Persekutuan dilaksanakan secara teratur mengikut jadual.

“Dalam krisis pandemik Covid-19 yang masih berlarutan, kerajaan beri tumpuan untuk pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

“Setelah ekonomi kembali pulih, kerajaan akan kembali melaksanakan langkah konsolidasi fisikal dalam usaha memastikan paras pendedahan hutang terus terkawal,” katanya ketika sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu. foto NOOREEZA HASHIM, 31 OKTOBER 2019

Mohd Shahar menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu (AMANAH) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan bagaimanakah kedudukan hutang semasa negara dan nisbah hutang kepada KDNK.

Dalam pada itu, ketika menjawab tentang tentang Penyusutan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia, kata Mohd Shahar, itu bukan disebabkan faktor ekonomi dalaman negara.

Sebaliknya jelas beliau, kerajaan pada tahun 2019 menganggarkan harga minyak dunia berada pada paras AS$60 setong, namun ia turun pada paras AS$40 setong berikutan Covid-19.

“Defisit fiskal negara juga mengunjurkan berada pada tahap 3.2 peratus berikutan ketidaktentuan yang berlaku ketika itu. Belanjawan 2020 yang dibentangkan sebaliknya mengunjurkan defisit fiskal negara berada pada tahap 3.4 peratus.

“Ini bukan disebabkan faktor ekonomi dalaman negara berdasarkan beberapa elemen yang menyumbang kepada peningkatan prestasi.

“Bukan sebenarnya menunjukkan penurunan daripada dari ‘A-‘ kepada ‘BBB+’ seperti disebutkan bukan disebabkan faktor ekonomi dalaman.

“Ini kerana banyak petunjuk seperti kedudukan Malaysia antara negara paling berdaya saing di rantau ini menduduki tempat ke-12 dalam Laporan Menjalankan Perniagaan,” ujarnya. -MalaysiaGazette