Tahun 2020 ini menyaksikan kehidupan rakyat di negara kita makin tersepit dan terhimpit apabila ramai yang hilang pekerjaan, seterusnya tahun ini yang bakal berakhir beberapa minggu lagi akan menutup lembaran dengan keadaan yang suram.- Gambar hiasan.

MASALAH terbesar yang dihadapi rakyat pada ketika ini adalah menangani wabak Covid-19 dan keruncingan krisis ekonomi.

Tahun 2020 ini menyaksikan kehidupan rakyat di negara kita makin tersepit dan terhimpit apabila ramai yang hilang pekerjaan, seterusnya tahun ini yang bakal berakhir beberapa minggu lagi akan menutup lembaran dengan keadaan yang suram.

Ahli-ahli wakil rakyat dan pemimpin politik seharusnya menjadikan dua isu utama ini sebagai perkara asas dalam tindakan politik mereka.

Perbalahan politik seperti krisis politik di Perak dan pelbagai kenyataan politik seperti isu kuil di Kedah dan percakaran parti politik seharusnya dikendurkan.

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa kekanda-kekanda ketua sayap parti politik semua agar bersama-sama ke meja rundingan dan tidak mengeluarkan kenyataan menyakitkan hati sesama kita. Apa jua permasalahan atau isu boleh diselesaikan dengan cara baik dengan berbincang dan “musyawarah”.

Sememangnya Ikatam merupakan parti yang kerdil berbanding parti-parti gergasi yang lain, namun, ideologi Ikatan mahukan kesejahteraan politik untuk semua kaum dan agama.

Oleh yang demikian, perbalahan yang berlaku hari ini, dilihat bakal memburukkan lagi situasi politik tanah air, seterusnya mengancam ekonomi negara. Adakah kita semua sedar bahawa pada 4 Disember lalu, Fitch Ratings telah memberikan penarafan yang lebih rendah kepada ekonomi Malaysia?

Jika waktu kerajaan Pakatan Harapan, rating A+ diturunkan kepada A-, kini negara kita diturunkan kepada BBB+, terendah sejak 22 tahun. Hal ini disebabkan oleh kemerosotan tadbir urus dan ketidakstabilan politik yang berterusan.

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa pemimpin sayap parti-parti politik untuk bekerjasama demi rakyat di negara kita. Negara kita memerlukan kepimpinan yang mampu memberikan kepimpinan berprinsip, kepimpinan yang cekap, dan kepimpinan yang sejahtera agar semua kaum dapat bersatu padu tanpa mengira agama dan warna kulit.

Inilah semangat Bangsa Malaysia yang sebenar. Oleh itu, jauhilah daripada menggunakan kata-kata kasar terhadap mana-mana pihak kerana kita semua hidup di dalam rumah yang bernama Malaysia. – MalaysiaGazette

Shahir Adnan

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia merangkap Timbalan Pengerusi IKATAN Kelantan, Shahir Adnan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast