Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Penafian Perikatan Nasional (PN) yang Malaysia sedang mengalami krisis politik dan ekonomi menambah risiko penurunan lanjut penarafan kredit negara pada masa akan datang.

Bagaimanapun, pemecatan Menteri Besar Perak secara mengejut oleh UMNO pada minggu lalu menunjukkan penilaian Fitch adalah tepat mengenai majoriti tipis Parlimen dua kerusi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai penyebab ketidakstabilan politik.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Muhyiddin harus berani menangani ketidakstabilan politik ini dengan membenarkan usul tidak percaya di Parlimen.

“Penafian Muhyiddin hanya menunjukkan kelemahan politiknya dan kebimbangan beliau kehilangan majoriti di Parlimen. Sebarang penangguhan hanya akan melanjutkan budaya politik toksik semasa yang mengorbankan kepentingan negara demi survival peribadi yang mementingkan diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas mengenai semakan menurun penarafan kredit Malaysia oleh Fitch Ratings.

Penurunan itu adalah pertama kali untuk Malaysia sejak Krisis Kewangan Asia 1997/98, malah menjadi negara ASEAN pertama yang mengalami nasib seperti itu dalam wabak Covid-19 ketika ini.

Beliau turut meminta Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berhenti menanam tebu di bibir dan mendedahkan unjuran pertumbuhan yang realistik dan tepat mengenai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, kutipan hasil dan hutang kerajaan, yang jauh tersasar berbanding dengan penilaian Fitch.

Katanya, Fitch menjangkakan jumlah hutang kerajaan akan meningkat kepada 76% daripada KDNK pada tahun 2020 daripada 65.2% daripada KDNK pada tahun 2019.

Manakala hutang langsung kerajaan pada RM874.27 bilion atau 60.7% daripada KDNK pada akhir bulan September yang berada di atas had perundangan 60% daripada KDNK.

”Lebih penting lagi, Fitch berpandangan bahawa kemerosotan tadbir urus dan ketidakpastian politik yang berterusan dapat melembapkan sentimen pelabur, yang membataskan pertumbuhan ekonomi.

”Jelas persepsi negatif ini tidak dibantu oleh penyalahgunaan sumber kerajaan demi politik di mana tender terbuka diganti dengan tender yang dirundingkan dan menggantikan lembaga pengarah profesional syarikat milik erajaan (GLC) dengan lantikan politik, seperti tawaran jawatan Pengerusi Petronas kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh untuk membeli sokongan politik,” tambahnya.

Yang lebih membimbangkan adalah kegagalan jelas Muhyiddin untuk mengekang wabak Covid-19 dengan keputusan untuk membenarkan perjalanan domestik dan mengurangkan sekatan Covid-19 di beberapa negeri walaupun terdapat peningkatan jangkitan.

Menurut Guan Eng lagi, pemimpin UMNO pula menyelar kegagalan Perdana Menteri mengawal pandemik Covid-19 dengan menyatakan krisis di Malaysia berada dalam keadaan yang lebih buruk berbanding di Indonesia, yang mana dilaporkan 2.234 kes per juta penduduk di Malaysia berbanding 2.096 kes per juta di Indonesia.

Jumlah kes Covid-19 (72,694) dijangka melebihi jumlah 86,619 kes di China dalam 10 hari akan datang.

”Penurunan penarafan kredit negara ini pula adalah satu bentuk undi tidak percaya oleh pakar kewangan bebas dan antarabangsa mengenai prestasi ekonomi kerajaan.

”Kerajaan Persekutuan PN harus bekerjasama dengan semua parti politik dan seluruh rakyat Malaysia untuk menyelesaikan krisis politik dan ekonomi ini demi meningkatkan dan mendapatkan semula penarafan kredit A- negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast