Mahathir Mohd Rais

KUALA LUMPUR – Timbul pelbagai persoalan dan spekulasi sejak ‘penggulingan’ Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak pada Jumaat lepas.

Bagaimanapun apa yang agak sukar untuk diterima segelintir pihak khasnya terutamanya orang Melayu ialah kemungkinan kerjasama UMNO dan DAP membentuk kerajaan negeri.

Itu luahan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Segambut, Mahathir Mohd Rais. 

Katanya, tindakan UMNO sememangnya sukar untuk diterima seperti sudah tidak ada ruang untuk bertoleransi sesama umat Islam dan Melayu.

“Remuk dan kecewa hati Orang Melayu melihat bibit-bibit perpecahan ini. Kita berlaga sesama sendiri tetapi kita tidak sedar parti lawan di luar sana bersorak gembira kerana perbalahan sesama kita. Lihat bagaimana hari ini DAP sanggup ‘melacurkan diri’ mereka untuk kembali berkuasa.

“Ingatlah apabila berkuasa habis segala agama dan bangsa hendak dipertikaikannya. Apakah UMNO ingin mengkhianati perjuangan parti dan ahli ahli mereka semata mata untuk bersama parti cauvinis dan rasis seperti DAP?

“Sudah tentulah tindakan yang dilakukan UMNO amat sukar untuk diterima,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau mengulas kesediaan DAP dan PKR bersedia untuk bekerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan negeri Perak yang baharu selepas perletakan jawatan Faizal Azumu.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming sebelum ini berkata, parti itu akan memberi kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri baharu yang lebih stabil.

“Demi kepentingan rakyat, DAP Perak sedia bekerjasama dengan mana-mana parti untuk membantu membina sebuah kerajaan kuat dan stabil serta pelbagai kaum.

Sambung Mahathir, seandainya ada ruang untuk mencari jalan penyelesaian secara musyawarah atau perbincangan perlulah dilakukan dengan segera.

“Rakyat sedang lihat semua ini, apa yang kita cakap selama ini dan membiarkan rakyat melihat sebaliknya sesuatu langsung tidak boleh diterima.

“Sedarlah. Kita semua harus perbaiki diri masing-masing, jangan asyik tuding jari pada orang lain sahaja, berlagak seperti big brother. Cubalah berbincang dulu sebelum buat keputusan.

“Perselisihan faham adalah rahmat, tetapi janganlah sampai rakyat dan umat terkesan. Bertautlah semula,” tegasnya.

Beberapa hari lepas Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan untuk membentuk jajaran baharu politik di Perak.

Ini berikutan keputusan Pas dan PPBM yang tidak menyokong pembentukan kerajaan baharu di Perak selepas Ahmad Faizal gagal meraih sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri dalam usul undi percaya terhadap beliau, kelmarin. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.