Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika hadir pada Mesyuarat bersama Menteri Barisan Nasional di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto AFIQ HAMBALI, 08 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa menafikan dakwaan kononnya UMNO, Pas dan Bersatu tidak sehaluan dalam penentuan Menteri Besar (MB) Perak dan pembentukan kerajaan negeri baharu.

Malah katanya, ketiga-tiga parti itu masih utuh di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) sebagai satu keluarga sekali gus menolak spekulasi mengaitkan ketiga-tiga parti gabungan PN itu terlibat menghadapi masalah.

Setiausaha Agung Barisan Nasional itu menegaskan, Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menentukan isu pelantikan calon MB Perak.

“Malah kita sudah memutuskan dan mahu PN terus menjadi kerajaan utuh di Perak menerusi gabungan UMNO, Pas dan Bersatu kerana kami adalah satu keluarga dalam PN.

“Tiada sebarang salah faham antara tiga parti dalam PN, kami masih bersatu hati,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia petang ini.

Beliau hadir untuk Mesyuarat Menteri-Menteri BN yang dijadualkan berlangsung 5 petang tadi.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, mesyuarat antara menteri-menteri BN petang ini merupakan rutin setiap minggu.

Manakala Ahli Parlimen Ketereh itu juga menegaskan mesyuarat antara para pemimpin komponen BN juga akan diadakan  malam ini.

Ditanya mengenai kenyataan Bersatu mengenai kekesalan mereka berikutan tindakan UMNO yang tidak menyokong usul undi percaya ke atas bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Annuar menafikan sebarang salah faham yang berlaku.

Keadaan itu menyebabkan Faizal Azumu mengumumkan perletakan jawatannya pada keesokan hari sehingga mencetuskan krisis penentuan calon baharu Menteri Besar di negeri tersebut.

“Siapa cakap itu, tiada sebarang masalah sebegitu, saya ada jumpa Bersatu dan Pas di Parlimen hari ini. Saya telah bersama setiausaha agung kedua-dua parti komponen PN termasuk kedua-dua presiden parti itu.

“Tiada sebarang perbezaan, jurang persefahaman antara ketiga-tiga kami, kamu bersatu hati bawah semangat keluarga PN,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.