Empat suspek yang didakwa membunuh bekas penyelidik MARDI dan terlibat dalam kes samun dikawal ketat oleh anggota polis ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. foto SYAFIQ AMBAK, 09 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Empat pemuda dalam lingkungan 20-an dituduh di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan membunuh bekas penyelidik Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Wan Hassan Wan Embong, 73, pada 29 November lalu.

Tertuduh-tertuduh, Vikneswaran Selvach Santhiran, 22, Kogilan Panniselvam, 23, Ravindran Manimurasu, 23 dan Sugu hangarajoo@Abdul, 27, didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 November lalu di antara jam 3.35 pagi dan 4 pagi di rumah mangsa di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya, Brickfields.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan mereka boeh dihukum mati.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar sementara keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Kesemua tertuduh yang berada di dalam kandang pesalah mengaku memahami pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa tetapi tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Wong Chai Sia telah menetapkan 9 Mac 2021 sebagai tarikh sebutan kes, sementara menunggu laporan forensik kes tersebut.

Keluarga keempat-empat tertuduh kelihatan berada dalam kamar mahkamah ketika pertuduhan dibacakan.

Ahli keluarga salah seorang daripada empat suspek tidak dapat menahan kesedihan selepas suspek-suspek dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 DISEMBER 2020.

Mereka kelihatan mengalirkan air mata sebaik sahaja jurubahasa membacakan pertuduhan terhadap keempat-empat suspek.

Dalam pada itu keempat-empat suspek yang berasal dari Setapak turut dituduh secara berasingan di Mahkamah Sesyen atas kesalahan melakukan rompakan bersenjata secara berkumpulan.

Keempat-empat tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut fakta kes, kesemua suspek didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata sebilah parang dan sebatang tukul besi ke atas Mohd Muzaffar Zulkifli Martin, 33, hingga kerugian dianggarkan bernilai RM38,000.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu pada 29 November lalu antara jam 4.12 pagi hingga 5.30 pagi bertempat di lot 442, Jalan Tiara Titiwangsa, Taman Tiara Titiwangsa Setapak, Wangsa Maju.

Semua tertuduh itu didakwa di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Aiman Azahan.

Keempat-empat tertuduh yang tidak diwakili peguam mohon kes tersebut dibicarakan.

Hakim Izralizam menetapkan 9 Mac tahun depan untuk sebutan semula kes tersebut.-MalaysiaGazette