Chong Sin Woon.

KUALA LUMPUR – MCA dibenarkan untuk menunda Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) pelbagai peringkat Bahagian, Negeri dan Kebangsaan parti itu sehingga 30 Jun tahun depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon berkata, kebenaran itu diterima oleh ibu pejabat parti daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) hari ini.

“Sebelum ini kami memohon JPPM untuk membenarkan MCA supaya menunda AGM parti bagi tahun 2020 untuk peringkat Bahagian, Negeri dan Kebangsaan sehingga 30 Jun 2021 dan gembira JPPM memberi lampu hijau untuk kami bertindak sedemikian.

“Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan di peringkat Bahagian, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA yang bermesyuarat semalam memutuskan bahawa MCA dan kedua-dua sayap Pemuda dan Wanita di peringkat Bahagian perlu mengadakan AGM masing-masing sebelum 31 Disember 2020 ini manakala yang sudah diadakan sebelum ini tidak perlu berbuat apa-apa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru katanya, AGM 2020 untuk Pemuda dan Wanita MCA peringkat negeri pula perlu diadakan sebelum 31 Januari 2021, manakala AGM 2020 untuk Pemuda dan Wanita peringkat kebangsaan dijadualkan dilakukan serentak dengan perayaan ulang tahun MCA pada tahun depan.

Menurut Sin Woon, mesyuarat sama juga membuat ketetapan tidak akan mengadakan Konvensyen 2020 untuk MCA peringkat negeri.

“MCA, Pemuda dan Wanita peringkat bahagian, serta Pemuda dan Wanita peringkat negeri adalah diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan Malaysia ketika mengadakan AGM masing-masing bagi menjaga kesihatan dan keselamatan para peserta,” ujarnya. -MalaysiaGazette