KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencatatkan kejayaan
terbaru apabila berjaya melonjakkan kedudukannya di tangga 109  UI GreenMetric World University Ranking on Sustainability 2020 (UIGM).

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr. Raha Abdul Rahim berkata, UTeM terus menyerlah pada kedudukan 109 daripada 912 universiti di seluruh dunia pada bagi tahun 2020 ini.

Pencapaian ini  menzahirkan peningkatan dari tangga 114 pada tahun 2019 lepas.

Jelas beliau, keputusan ini merupakan peningkatan secara berterusan UTeM dalam tempoh lima  tahun berturut-turut.

UTeM menyertai UIGM pada tahun 2016 pada kedudukan 269, meningkat pada kedudukan 170 pada tahun berikutnya dan tempat ke-148 pada tahun 2018.

Antara faktor pendorong ke arah peningkatan kedudukan ini menerusi sub kriteria kelestarian yang ditambahbaik dalam penilaian dan kriteria UIGM di samping sumbangan kolektif dengan aspirasi kampus lestari dari seluruh institusi dan fakulti di UTeM.

“Pencapaian terbaru ini dalam erti kata lain telah menempatkan UTeM
dalam kalangan 10 universiti dalam negara yang terus komited
melaksana dasar dan program mesra alam serta kampus lestari yang
mampan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Keselamatan Pekerjaan dan
Kelestarian Alam Sekitar (KPKA) UTeM, Profesor Madya Ts Juhari Ab
Razak berkata, bagi meningkatkan lagi kedudukan selepas ini maka
UTeM akan memberi lebih fokus aspek pengurusan air dan pengurusan
sisa yang lebih bersepadu. – MalaysiaGazette