Saarani Mohamad

KUALA LUMPUR – Agenda membela rakyat akan dijadikan keutamaan dalam pentadbiran kerajaan negeri, kata Menteri Besar Perak yang baharu.

Datuk Seri Saarani Mohammad berkata, ia perlu dalam keadaan rakyat berdepan dengan kesusahan akibat penularan Covid-19.

Justeru katanya, kerajaan negeri akan pastikan Belanjawan 2021 Perak bukan sahaja mampu memulihkan ekonomi, menjana ekonomi tetapi juga membantu rakyat yang susah disebabkan pandemik ini.

“Saya tak fikir kita ada masa teliti atau ubah kandungan isi belanjawan yang telah pun dirangka dan dibincang bersama Exco (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) yang lama, termasuk saya,” katanya seperti laporan UMNO Online hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan berkata demikian dalam sidang media sulungnya, sebaik selesai Istiadat Mengangkat Sumpah sebagai Menteri Besar di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, Perak hari ini.

Profail Saarani.

Menurut Saarani, Belanjawan Negeri Perak 2021 hanya akan diluluskan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai formaliti sebelum dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri, seperti mana dirangka pentadbiran sebelum ini.

Saarani juga menginsafi amanah yang perlu dipikul dengan penuh bertanggungjawab untuk memastikan kerajaan ditadbir berhemah, adil dan saksama untuk setiap lapisan masyarakat.

“Saya seru semua pihak letakkan agenda rakyat sebagai keutamaan, kita tahu Covid-19 adalah cabaran getir yang perlu dihadapi kerajaan dan ia hanya mampu diharungi dengan komitmen jitu semua pihak termasuk kakitangan awam peringkat negeri dan Persekutuan,” katanya.

Saarani turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sepanjang mengetuai jentera kerajaan negeri sebagai Menteri Besar sebelum ini selain ucapan terima kasih turut diberikan kepada Exco terdahulu dan kakitangan awam.

Berkaitan barisan Exco baharu, Saarani berkata lima Exco yang baharu akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, di sini, 2.30 petang ini.

Beliau berkata nama kesemua mereka telah dipersembah dan diperkenan Sultan Nazrin pagi ini.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saarani sah Menteri Besar Perak yang baharu

2 Komen

  1. luka boleh diubat…tetapi PARUTnya tetap ada…Perumpamaan ni seperti jangan jolok sarang tebuan dan jangan buat rumah di tepi pantai jika takut dipukul badai…SENDIRI MAHU INGAT

Comments are closed.