Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (kiri) beramah mesra dengan sebahagian penerima pada Majlis Penyampaian Barangan Asas Kepada Keluarga B40 di Sekolah Kebangsaan Sungai Rawang, Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 13 DISEMBER 2020.

SEPANG – Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Mohd. Harun enggan terperangkap dengan soalan beliau akan bertanding di Parlimen Sepang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau yang juga Ketua Srikandi Bahagian Sepang berkata, keputusan untuk menempatkan ahli Bersatu untuk bertanding di mana-mana kerusi adalah keputusan pucuk pimpinan parti.

“Saya tak nak terperangkap dengan soalan macam ini. Yang penting sekarang ini kita cuba jalankan tugas dan tanggungjawab.

“Kebetulan saya berkampung di sini, emak saya asal di sini, dan saya juga Ketua Srikandi Bahagian Sepang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir Majlis Penyampaian Barangan Asas Kepada Keluarga B40 Kampung Bukit Bangkok di Dewan Sekolah Kebangsaan Sungai Rawang, Sungai Pelek di sini hari ini.

Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diminta mengulas desas-desus beliau akan bertanding di Parlimen Sepang pada PRU15.

Ia berikutan kekerapan beliau hadir pada program-program di sini sejak kebelakangan ini sama ada melibatkan kerajaan atau pun parti.

Rina kini merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.