Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Penyampaian Barangan Asas Kepada Keluarga B40 di Sekolah Kebangsaan Sungai Rawang, Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 13 DISEMBER 2020.

SEPANG – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius insiden jenayah yang membabitkan kanak-kanak sebagai mangsa sejak kebelakangan ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pihaknya perlu mencari faktor yang menyumbang kepada insiden itu agar ia tidak berulang lagi.

Beliau berkata, faktor tekanan emosi, psikologi atau masalah lain dikenalpasti sehingga menyebabkan kanak-kanak menjadi mangsa.

“Dalam kes ini, kesedaran bukan sahaja komuniti setempat sekiranya isteri takut dan jiran memainkan peranan penting.

“Di pihak kementerian, kita sedang menyusun balik struktur agensi seperti Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) di mana kita akan menambah 8,000 kakitangan baharu pelbaga jawatan pada tahun depan dalam menangani pelbagai isu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir Majlis Penyampaian Barangan Asas Kepada Keluarga B40 Kampung Bukit Bangkok di Dewan Sekolah Kebangsaan Sungai Rawang, Sungai Pelek di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas insiden jenayah yang menimpa kanak-kanak sejak kebelakangan ini termasuk terbaharu semalam di Subang apabila seorang bayi berusia setahun yang ditikam bapanya.

Ditanya mengenai dilema keluarga yang berdepan ahli yang memiliki masalah dadah dan mental, Rina berkata, isu itu melibatkan banyak agensi lain seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Namun jelas beliau, KPWKM telah mewujudkan perkhidmatan telekaunseling itu menerusi Talian Kasih 15999 bagi membincangkan masalah yang dihadapi masyarakat. – MalaysiaGazette