Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya (tengah) diiringi bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin (kiri) beramah mesra bersama Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 14 DISEMBER 2020.

SHAH ALAM – Deputi Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed diangkat sebagai pemangku Ketua Polis Selangor berkuatkuasa serta merta.

Beliau selaku Timbalan Ketua Polis Selangor akan memangku sementara jawatan itu yang ‘ditinggalkan’ oleh penyandangnya, Datuk Noor Azam Jamaluddin yang bersara wajib bermula esok.

Majlis serah terima tugas itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Komisioner Datuk Zamri Yahya di Dewan Utama Ibu Pejabat Kontinjen Selangor hari ini.

Zamri berkata, setakat ini pengurusan Bukit Aman belum memutuskan tempoh sebenar  jawatan yang dipangku Arjunaidi.

“Namun saya berharap jawatan Ketua Polis Selangor akan terus dipegang beliau (Arjunaidi) untuk menerajui kontinjen negeri ini.

“Pengalaman luas beliau terutama ketika memegang jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya selama enam tahun boleh membantu merancakkan lagi pentadbiran negeri,” katanya dalam sidang media selepas majlis tersebut.

Ditanya mengenai pelantikan itu, Arjunaidi menegaskan, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan di Bukit Aman untuk membuat keputusan itu.

“Saya tak tahu pelan khas yang hendak dilaksana selaku pemangku sebab tak pasti berapa lama akan memangku jawatan itu, seminggu ke, dua minggu ke atau tiga minggu lagi.. biar pengurusan tertinggi uruskannya,” kata beliau.

Sementara itu, Noor Azam meletakkan harapan tinggi kepada kepimpinan baharu meneruskan kesinambungan memerangi jenayah di Selangor.

Bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin bersama isterinya, Datin Roshafiza Abd Halim melambaikan tangan kepada anggota dan pegawai polis semasa diarak menaiki sebuah kenderaan pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 14 DISEMBER 2020.

“Saya amat menghargai kerjasama jitu semua pegawai kontinjen jabatan negeri sejak saya mengetuai kontinjen bermula Februari tahun lalu.

“Kalau tanya pasal jawatan mana kegemaran dan menyerlah, sukar untuk saya perincikan. Semua jawatan yang saya pegang selama ini melakukan yang terbaik termasuk di Perak dan Bukit Aman sebelum ini tanpa kekecewaan dan saya sangat puas hati sepanjang 31 tahun perkhidmatan dalam pasukan ini.

“Nasihat saya supaya semua ikut arahan yang ditetapkan untuk meletakkan kita di landasan yang betul dan jangan malas berkhidmat, integriti ini kita sudah mewarisi sejak dahulu lagi dalam Polis Diraja Malaysia,” ujarnya.- MalaysiaGazette