Gambar hiasan

SUATU ketika dulu setiap kali menjelang musim perayaan, saya tidak akan melepaskan peluang membaca ruangan ‘Salam Perantau’. Semangat saya untuk turut serta bersama sahabat-sahabat setanah air berkelana ke negara asing semakin berkobar-kobar setiap kali membaca kolum tersebut. Acap kali timbul di benak fikiran saya bagaimana masyarakat kita menyediakan juadah tradisi semasa musim perayaan. Di manakah mereka mendapat keperluan asas untuk memasak ketupat, rendang, kuah lodeh dan nasi briyani? Maklumlah pada masa itu perkhidmatan kurier tidak efisyen seperti hari ini.
Saya kini telah menetap di United Kingdom selama lebih 16 tahun dan persoalan yang bermain di minda saya dahulu juga akhirnya terjawab. Untuk mendapatkan bahan ruji masakan seperti rempah-ratus dan beras di United Kingdom tidaklah semudah seperti di Malaysia. Masyarakat Asia di Eropah masih mengamalkan sistem jual-beli tradisional untuk mendapatkan keperluan asas mereka.

Kebanyakan barangan ini dijual di kedai runcit dan kedai serbaneka milik rakyat Pakistan, India dan China. Pasaraya-pasaraya besar di United Kingdom seperti Tesco, Asda, dan Sainsbury’s ada menjual barangan bercita-rasa Oriental namun ianya amat terhad dan tidak mempunyai banyak pilihan. Selain daripada kedai runcit dan serbaneka, ada juga yang meminta ahli keluarga mereka di kampung menghantar parcel keperluan asas seperti makanan kering dan makanan dalam tin. Kira-kira sedekad yang lalu, saya pernah menawar rakan sekerja saya untuk membeli gula-gula untuk anaknya namun ditolak secara baik. Walaupun ditawar pelbagai jenis jenama coklat dan gula-gula,
namun beliau konsisten menolak pelawaan saya. Melihat saya kebingungan dengan senario tersebut, beliau menjelaskan bahawa gula-gula tersebut tidak halal walaupun dibeli di pasaraya besar.

Peristiwa tersebut membuka mata saya dan semenjak itu saya telah banyak membuat kajian mengenai produk halal dan apa yang mengejutkan saya ialah Malaysia merupakan antara pengeluar barangan Halal terbaik di dunia. Malaysia merupakan rakan dagangan kedua terbesar United Kingdom di peringkat Asean. Namun begitu jika kita berkunjung ke kedai runcit, kedai serbaneka dan pasaraya di sekitar kota metropolis London, produk daripada Thailand dan Vietnam lebih mudah didapati berbanding barangan buatan
Malaysia. Walaupun kebanyakan rakyat Thailand dan Vietnam tidak pandai berbahasa Inggeris, namun makanan tradisi mereka seperti tomyam dan pho berjaya mendapat tempat di hati masyarakat dunia.

Di manakah silap kita? Malaysia merupakan ahli negara-negara Komanwel selain daripada lebih 70,000 rakyat kita menetap di negara Big Ben. Bahasa Inggeris juga merupakan bahasa kedua utama di Malaysia. Sebelum ini tular di sosial media apabila rakyat Malaysia, Zaleha Kadir Olpin yang menyertai pertandingan masakan MasterChef UK tersingkir daripada program itu kerana masakan rendang ayamnya mendapat kritikan hebat daripada juri, John Torode kerana tidak garing dan rangup. Ciapan Twitter daripada juri yang sama yang menyatakan rendang berasal daripada Indonesia juga membuatkan isu ini menjadi lebih panas.

Bak kata pepatah, ‘tak kenal maka tak cinta’. Kita tidak boleh menyalahkan juri ini 100 peratus kerana ketidakfahaman beliau mengenai adat dan budaya rakyat Malaysia. Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai duta kecil negara untuk mempromosikan Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya daripada masyarakat berbilang bangsa dan etnik.
Pandemik COVID-19 telah memberi impak yang amat besar terhadap masyarakat kita. Puluhan ribu hilang pekerjaan malahan peniaga-peniaga terutama dari sektor PKS juga terpaksa gulung tikar akibat kemelesetan ekonomi. Ada juga di kalangan mereka yang telah hilang pekerjaan, menggunakan wang simpanan untuk berniaga secara kecil-kecilan demi kelangsungan hidup. Kerajaan juga telah banyak memberi bantuan di samping menggesa rakyat untuk membeli barangan buatan Malaysia bagi membantu golongan yang terjejas. Inisiatif-inisiatif ini perlu dipuji namun tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa pasaran domestik hari ini telah tepu. Hal ini demikian kerana
kita mempunyai lambakan produk PKS selain daripada kelahiran peniaga-peniaga baru akibat daripada pandemik ini, tetapi rakyat kita sendiri tidak mampu untuk berbelanja bagi menyokong golongan ini.

Bagi membantu usahawan daripada sektor PKS, saya mencadangkan pihak kerajaan dan organisasi yang terlibat untuk membantu kumpulan ini meneroka pasaran baru di luar negara. Kita mempunyai banyak produk PKS yang berpotensi untuk diperkenalkan di pasaran Halal antarabangsa. Halal merupakan salah satu sektor bernilai tinggi di peringkat dunia dan sedang berkembang pesat bukan sahaja di negara-negara Muslim tetapi juga di negara-negara bukan Muslim. Pasaran halal global menawarkan peluang yang sangat besar untuk PKS tempatan terutamanya dalam mengeksport produk makanan ke luar negara, memandangkan sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim
mempunyai reputasi yang baik di peringkat dunia. Masyarakat antarabangsa terutama di negara-negara bukan Islam amat menitik-beratkan pensijilan Halal. Bagi mereka, produk yang mempunyai sijil Halal lebih terjamin dari segi kualiti kerana telah melalui proses bimbingan dan pengawasan yang ketat. Memiliki sijil Halal adalah sepuluh kali lebih
penting kepada pengguna berbanding harga barangan yang berpatutan.

Malaysia mencatatkan nilai eksport produk halal tempatan berjumlah RM40.2 bilion pada tahun lalu. Menurut Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), segmen eksport makanan dan minuman (F&B) halal meningkat sebanyak 10.4 peratus tahun lalu berbanding tahun sebelumnya. Pasaran eksport ke rantau Eropah merupakan antara solusi yang terbaik bagi perniagaan berskala kecil dan sederhana dalam mengambil kesempatan semasa ketidaktentuan perdagangan global ini. E-marketplace seperti eBay dan Amazon merupakan platform yang tepat di mana ia merupakan satu anjakan paradigma kepada usahawan dalam meneroka pasaran di peringkat global di samping memasarkan produk mereka kepada kumpulan sasaran pembeli yang lebih besar pada kadar yang
berpatutan.

Peluang yang besar wujud apabila ramai yang takut akan cabaran yang bakal dihadapi. Di Halal Street UK, kami telah berjaya membantu ramai usahawan dalam mengeksport produk Halal mereka ke United Kingdom dan negara serantau secara selamat melalui platform kami; HalalStreet dan HalalExtra.Dengan populasi penduduk di United Kingdom hampir 68 juta orang di samping umat Islam yang menetap di negara tersebut melebihi tujuh peratus iaitu kira-kira 3.2 juta penduduk dan semakin bertambah saban tahun, ini merupakan suatu pasaran yang berpotensi tinggi untuk diterokai.

Menjadi iltizam kami di Halal Street UK untuk terus membantu sebanyak mungkin usahawan PKS mengeksport produk mereka ke pasaran Halal Eropah. Jika hasil durian Musang King kita kini telah berjaya mendapat banyak permintaan daripada masyarakat antarabangsa kerana rasa eksotik dan kualitinya yang tersendiri, tidak mustahil satu hari nanti budu keluaran Mak Cik Kiah daripada Pasar Siti Khadijah akan menjadi kegemaran masyarakat dunia dan menggantikan sos tomato dan sos mustard di restoran-restoran utama di Kota London.

Suresh, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Halal Street UK Ltd. Ditubuhkan pada 2014, Halal Street UK, syarikat milik rakyat Malaysia khusus dalam sektor Halal dan segmen mesra-Muslim di rantau Eropah. Ia merupakan kedai dalam talian terbesar memasarkan barangan buatan Malaysia ke United Kingdom.