Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Dataran Perhimpunan SUK Selangor untuk Majlis Penyerahan Majlis Penyerahan Subsidi Bagi Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) Selangor di Dataran Perhimpunan SUK di Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menjangka bakal memulakan empat projek khusus untuk mengatasi insiden pencemaran sumber air dengan peruntukan RM200 juta pada Januari 2021.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini pihaknya sedang menilai cadangan-cadangan yang dikemukakan termasuk memanggil pakar bebas untuk melihat keberkesanan projek-projek yang antara lainnya bakal mengalihkan air mentah yang terawat daripada masuk ke loji-loji rawatan.

“Sekarang selain tawarkan projek kita juga sudang menilai balik cadangan yang dikemukakan termasuk memanggil pakar bebas kita mahu cadangan itu betul-betul berkesan atau tidak tetapi selepas beberapa pertemuan saya rasa itu paling berkesan dapat kita atasi kalau kita dapat alihkan air dari muka sauk ke loji-loji rawatan jadi loji rawatan tidak akan terputus bekalan paling kurang lima hari kalau macam Rantau Panjang dan HORAS 600 boleh tahan 100 hari.

“Nampak mudah tapi kita perlukan 15 bulan. Tender hampir selesai dalam bulan sebulan kita akan dapat buat dengan segera dengan menghormati proses tender,” katanya kepada pemberita.

Beliau terdahulu hadir ke Dataran Perhimpunan SUK Selangor untuk Majlis Penyerahan Majlis Penyerahan Subsidi Bagi Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) Selangor di Dataran Perhimpunan SUK hari ini.

Dalam Belanjawan 2021 bagi Selangor, Amirudin mengumumkan peruntukan RM200 juta bagi melaksanakan empat projek khusus untuk mengatasi insiden pencemaran sumber air di negeri itu.

Projek itu akan dilaksanakan bermula tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Dalam pada itu, Amirudin ketika diminta mengulas mengenai penganugerahan Global 2020 di bawah kategori Public Water Agency of the Year kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) baru-baru ini tidak menolak kemampuan mengendalikan akaun air terbesar di rantau Asia Tenggara menjadi salah satu faktor pengiktirafan.

“Kena tanya dengan pemberi anugerah tersebutlah. Kita adalah pengendali akaun air terbesar di rantau Asia Tenggara dan kita juga mengemukakan laporan kita saban tahun sebab itu pengiktirafan kita berdasarkan kemampuan kita menguruskan bekalan,” tambahnya.

Baru-baru ini penganugerahan tersebut menjadi pertikaian warganet yang rata-rata tidak berpuas hati kerana menyifatkan Air Selangor kurang efektif menyelesaikan masalah bekalan air di negeri berkenaan.-MalaysiaGazette