Bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin bersama isterinya, Datin Roshafiza Abd Halim melambaikan tangan kepada anggota dan pegawai polis semasa diarak menaiki sebuah kenderaan pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 14 DISEMBER 2020.

SHAH ALAM – “Selepas 33 tahun, saya akhirnya pencen dari PDRM (Polis Diraja Malaysia) sebagai Ketua Polis Selangor ke-31. Saya mahu berehat panjang meluangkan lebih masa bersama keluarga isteri dan cucu.”

Itu reaksi bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin yang bersara wajib hari ini.

Beliau berkata, sudah tiba masanya beliau memberi fokus kepada kehidupannya termasuk mempergiatkan diri dalam bidang muzik.

“Ya. Saya kini tenang dan mahu mengambil rehat yang panjang dengan keluarga khususnya cucu saya yang akan mengharapkan lebih masa bersama saya.

“Malahan saya mahu juga mengaktifkan diri belajar alat muzik gitar, ukelele dan terbaharu nak cuba main piano antara kegemaran saya kuasai alat itu,” katanya dalam sidang media selepas majlis serah terima tugas di Dewan Utama Ibu Pejabat Kontinjen negeri di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya menyaksikan timbalan Noor Azam iaitu Datuk Arjunaidi Mohamed dilantik sebagai Pemangku Ketua Polis Selangor.

Ditanya lagi, apakah beliau mempunyai niat atau keinginan menubuhkan kumpulan muzik dengan cucu-cucunya, Noor Azam tidak menolak kemungkinan itu bagi mengisi masa lapangnya kelak.

“Saya perlu belajar dan kuasai alat muzik ini, piano dan ukelele, mungkin anda akan jumpa saya bermain alat muzik di mana-mana pasar malam nanti jangan terkejut ya,” selorohnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Arjunaidi dilantik Pemangku Ketua Polis Selangor