Desas desus kononnya undian Belanjawan 2021 untuk kali ketiga di Dewan Rakyat hari ini tidak akan lulus sekaligus tumbangnya kerajaan tidak benar sama sekali.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Desas desus kononnya undian Belanjawan 2021 untuk kali ketiga di Dewan Rakyat hari ini tidak akan lulus sekaligus tumbangnya kerajaan tidak benar sama sekali.

Malah dakwaan kononnya ada sebilangan wakil rakyat dalam kerajaan juga akan bertindak menolak Belanjawan 2021 pada bacaan ketiga juga tidak betul.

Ia hanya provokasi segelintir pemimpin politik dengan agenda masing-masing bagi menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat serta mengambil kesempatan daripada ketidakstabilan politik terutamanya ketika negara sedang berdepan dengan Covid-19.

Menurut sumber, Belanjawan 2021 hari ini akan lulus demi kepentingan rakyat dan bukanlah ‘kuasa politik’ semata-mata.

“Tidak betul apa yang sedang disebarkan ketika ini. Yang betulnya, ramai yang akan sokong kerana ini adalah bajet untuk kepentingan rakyat juga. Seandainya tidak lulus, yang akan merana adalah rakyat bukan ahli politik. 

“Ada pihak sengaja campur aduk politik supaya umum akan menjadi marah, agresif dan tidak senang supaya ia boleh digunakan sebagai bahan politik mengelirukan rakyat dan menutup agenda masing-masing.

“Apa yang akan berlaku, semua akan bersatu menyokong, kamu lihat sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sumber yang enggan dinamakan itu mengulas dua perkara penting yang terjadi semalam susulan undian Belanjawan 2021 yang ketiga hari ini.

Semalam bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah telah memberikan bayangan awal ada kemungkinan kerajaan PN akan tumbang hari ini.

Seandainya itu berlaku, Mahathir dan Tengku Razaliegh sedia berkhidmat untuk mengembalikan kegemilangan Malaysia seperti ‘Harimau Asia’ satu ketika dahulu.

Keduanya, Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan lewat petang semalam menyatakan mereka akan menolak Belanjawan 2021 hari ini.

Dedah sumber itu lagi, selepas Belanjawan 2021 itu diluluskan maka akan ada satu lagi insiden ‘gempar’ akan direka oleh mereka.

“Memang kita akui keadaan politik tidak stabil, tidak ada sokongan majoriti. Memang ini peluangnya ketika undian Belanjawan tapi kita juga perlu fikir nasib rakyat.

“Jadinya selepas ini akan ada satu lagi perancangan untuk membuat usul tidak percaya, itu kemudian selepas selesai Belanjawan 2021.

“Selagi sokongan majoriti itu tidak ada, kita juga akan berdepan dengan krisis ketidakstabilan politik cukup teruk selain pandemik ini, ekonomi. Itu juga akan menyusahkan rakyat. Tapi satu-satu kita buat,” ujarnya. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.