Petugas barisan hadapan menguruskan para penghuni pusat perniagaan Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi bagi melakukan saringan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 11 NOVEMBER 2020.

PANDEMIK Covid-19 merupakan satu ujian besar buat masyarakat seluruh dunia. Kesan domino (domino effect) yang melanda amat besar melibatkan pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosial dan pendidikan selain keselamatan.

Pelbagai sektor perniagaan dalam industri PKS telah ditutup semenjak awal pandemik lagi menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan. Berbilion ringgit telah dibelanjakan bagi mencegah penularan dan membantu industri serta golongan masyarakat yang terjejas. Dapat dilihat kerajaan memberi tumpuan utama kepada aspek keselamatan dan ekonomi.

Bagaimana dengan aspek sosial dan pendidikan? Banyak faktor termasuk hilang sumber pendapatan dan akses kepada bantuan yang terhad telah menyebabkan peningkatan kes cubaan bunuh diri. Kerajaan telah menyediakan bantuan melalui talian sokongan psikososial, namun adakah itu telah memadai?

Rutin harian golongan kanak-kanak dan remaja turut terkesan apabila sekolah terpaksa ditutup. Kedengaran ada daripada kalangan mereka mengambil kesempatan bekerja secara sambilan untuk menampung kehidupan sendiri dan keluarga. Ada juga yang berjaga dengan permainan game di malam hari dan ponteng kelas atas talian di siang hari kerana berehat.

Sukar dipastikan berapa lama tempoh pandemik ini akan berlanjutan. Kehidupan normal sebelum pandemik kelihatan kelam kerana selagi mana vaksin yang telah diuji berkesan dan selamat belum dapat dihasilkan maka selagi itu manusia masih ketakutan untuk berhubungan secara fizikal.

kita tidak boleh berpada dengan hanya mengambil sikap tunggu dan lihat. Bergerak ke depan semua pihak perlu terus mengambil tanggungjawab bersama menangani kesan domino yang dibawa oleh pandemik ini.

1. Kerajaan dan wakil-wakil rakyat

Ahli politik seharusnya mengenepikan kepentingan sendiri dan mengutamakan nasib rakyat sebagaimana yang telah dititahkan oleh Yang-diPertuan Agong. Belanjawan 2021 misalnya adalah satu perkara penting bagi negara. Namun masih ada lagi ahli dan parti politik yang mengambil kesempatan cuba menjadi hero kepada kelompok mereka dengan mendakwa kononnya peruntukan yang dibuat tidak adil untuk bukan melayu dan bertujuan meraih undi melayu. Sedangkan peruntukan sudah mengambil kira ketidakseimbangan dalam penguasaan ekonomi di mana yang tertinggal di belakang iaitu bumiputera memang layak diberi bantuan lebih. Berbahaslah dengan bijaksana mengikut lunas-lunas perlembagaan. Tidak perlu bangkitkan perkara picisan yang hanya akan melambatkan atau menggagalkan kelulusannya pada 25 November nanti.

2. Agensi pelaksana

Peruntukan belanjawan perlulah sampai ke golongan sasar secara telus tanpa proses yang rumit dan memakan masa yang panjang. Diharapkan para petugas dalam pelbagai agensi pelaksana telah bersedia dengan prosedur yang jelas dan seragam bermula daripada pegawai peringkat atasan sehingga kepada pegawai yang akan melayani rakyat di kaunter pelanggan mahupun meja bantuan atas talian.

3. Badan-badan bukan kerajaan dan pertubuhan kemasyarakatan

Banyak usaha telah dilakukan oleh badan-badan bukan kerajaan. Mereka bukan sekadar mengumpul dan mengedarkan bantuan dalam bentuk kewangan dan barang keperluan, bahkan turut turun padang memberi semangat serta sokongan moral kepada para petugas barisan hadapan dan golongan masyarakat yang memerlukan terutamanya sewaktu PKP yang lepas. Usaha sedemkian perlu diteruskan.

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) turut mengambil bahagian dalam hal ini dengan menyasarkan pelbagai peringkat seluruh masyarakat dalam negara termasuk menyantuni para remaja dengan penganjuran kelas-kelas tuisyen atas talian secara percuma. Mengajak anak muda menyertai relawan muda untuk  program-program bantuan Covid-19.

Pertubuhan dan pusat kemasyarakatan setempat seperti masjid, surau, persatuan penduduk dan sebagainya yang lebih dekat  dengan komuniti setempat sudah tentu boleh memainkan peranan yang lebih. Boleh dimulakan dengan mengenal pasti golongan yang memerlukan serta meneruskan sokongan moral melalui pelbagai bentuk program-program kerohanian dan kaunseling.

4. Masyarakat

Peranan individu terutamanya ketua keluarga amat penting dalam nukleus masyarakat. Rutin harian yang telah berubah memang sering menimbulkan rasa putus asa dan membuatkan seseorang mengambil sikap berharap sahaja. Di ketika ini nafsu dan syaitan kuat berbisik kepada dosa. Ibu bapa boleh merancangkan aktiviti seharian sekeluarga supaya banyak masa terluang dapat diisi dengan perkara bermanfaat. Disebalik ujian adanya peluang yang boleh diambil. Lihatlah ujian yang datang sebagai peluang untuk belajar dan mencuba perkara baru untuk kehidupan yang lebih baik selepas pandemik. Firman Allah dalam surah At-Thalaq ayat 3-4 yang bermaksud:

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

Krisis Covid-19 tidak seharusnya merenggangkan hubungan kemasyarakatan walaupun banyak keterbatasan pada perhubungan fizikal. Allah telah menjadikan fitrah bahawa manusia itu adalah makhluk yang bersosial. Umat islam dalam pelbagai lapisan samada daripada kalangan pemimpin negara mahupun rakyat biasa perlu saling mengambil tahu, nasihat-menasihati dan membantu mengikut kapasiti yang ada.

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda yang bermaksud:

“Perumpamaan kaum Mukminin dalam berkasih sayang dan persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan demam.”

 

SHARIZAN SUMUII, NAIB YANG DIPERTUA ISMA SUBANG JAYA